SUDAH menjadi lumrah apabila bergelar ‘public figure’ maka segala percakapan dan perbuatan pasti menjadi buah mulut netizen, tambahan pula jika ia melibatkan sesuatu yang bersifat spekulatif.
Perkara ini lah yang berlaku kepada pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof apabila pengurniaan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang diterima semalam menjadi kritikan orang ramai.
Baca: Gelaran ‘Datuk Seri’ Eizlan Pun Kena Kecam!
Bagaimanapun, pelakon itu memilih untuk tidak mengambil kisah tentang sebarang tohmahan negatif yang dilemparkan terhadapnya.
Menurut aktor berusia 46 tahun itu, beliau tidak terlalu memikirkan mengenai perkara berkenaan kerana tidak mahu isu itu membuatkan dirinya hilang fokus.
“Apa yang kita lakukan, pasti akan ada yang tidak berpuas hati dan tidak suka.
“Saya tak nak jatuh sebab kritikan dan kutukan orang. Kalau orang dah tak suka, nak buat macam mana kan?” katanya memetik mStar Online.
Tambahnya lagi, beliau telah memaafkan pihak yang sering menyindir dan mengkritik terhadap kejayaan yang dicapai selama ini.
Dalam pada itu, Eizlan berharap agar tiada lagi individu yang mempertikaikan mengenai penganugerahan tersebut di masa akan datang.
“Saya maafkan mereka yang sering mengkritik dan berfikiran negatif tentang diri saya.
“Cuma, saya harap selepas ini tiada lagi yang mempertikaikan institusi diraja. Ia adalah lambang kedaulatan negara dan perpaduan masyarakat Malaysia.
“Gelaran ini adalah tanggungjawab kepada kami dan merupakan satu amanah yang diberi oleh institusi tersebut,” tambahnya.
Semalam, empat penggiat seni tanah air menerima penghargaan dengan penganugerahan gelaran Datuk dan Datuk Seri bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang disambut pada 24 Oktober lepas, di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Mereka ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Eizlan Yusof, Adi Putra dan Jovian Mandagie. – MYNEWSHUB.CC/AM
Loading...