LONDON – Selepas dua tahun jatuh teruk, harga minyak mentah dunia kembali meningkat mulai Khamis lalu dan akhirnya berjaya melepasi paras psikologi AS$60 (RM255) setong lewat Jumaat.
Kejayaan tersebut menjadi berita gembira buat semua syarikat minyak global dan negara pengeluar petroleum di seluruh dunia sejak kali terakhir rekod harga tertinggi dicatatkan sekitar Julai 2015 lalu sebelum jatuh menjunam.
Ia pernah mencecah paras paling rendah dalam sejarah tahun lalu apabila berada di bawah AS$27 (RM115) sekali gus menyaksikan banyak syarikat minyak terpaksa ditutup atau membuang ribuan pekerja bagi menjimatkan kos.
Lazimnya, harga minyak perlu stabil lebih daripada minimum AS$50 (RM212) iaitu paras siling untuk menampung segala kos operasi syarikat dapat ‘bernafas’ termasuk bagi urusan membayar gaji petugas dan modal kerja cari gali.
Penganalisis ekonomi antarabangsa menyifatkan kejayaan melepasi had sasaran AS$60 memang sudah dijangka ekoran tindakan Arab Saudi dan Rusia selaku pengeluar utama mula mengawal penawaran berlebihan di pasaran.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dianggotai 14 buah negara yang dikawal Riyadh selain Moscow dengan sembilan negara pengeluar lain baru-baru ini juga mencapai kata sepakat mengenai isu kuota pengeluaran.
Ini memperlihatkan buat julung kali sejumlah 24 negara terlibat bersetuju mengehadkan pengeluaran keseluruhan kepada hanya 1.8 juta tong sehari ketika ini sehingga kontrak penghantaran bekalan pada akhir Mac 2018 depan.
Bahkan OPEC dan 10 negara terbabit juga dikatakan merancang mahu melanjutkan kuota itu sehingga Disember tahun depan kerana berpendapat harga minyak tersebut mungkin boleh jatuh semula tanpa dijangka lebih awal.
Paras AS$60 itu sebenarnya belum cukup stabil kerana lazimnya apabila harga menjadi terlalu tinggi, pengeluar petroleum di Amerika Syarikat (AS) pula akan cuba meningkatkan lambakan bekalan sebagai strategi kecemasan.
Langkah pengurangan bekalan turut menyaksikan sebuah firma Arab Saudi, ACWA Power International sedia berbelanja AS$4 bilion (RM17 bilion) untuk pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui sepanjang 2018 ini.
Pelaburan mega itu juga melibatkan Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Maghribi sebagai tanda Arab Saudi mula menurunkan pergantungan kepada hasil sumber minyak sejajar dengan pelan Wawasan Nasional 2030.
Malah kenaikan harga mentah tersebut dijangka membantu Venezuela yang suatu ketika gah dengan harga runcit minyak terendah di dunia tetapi kini menanggung beban tunggakan hutang global AS$1 bilion (RM4.2 bilion).
Sementara Malaysia yang turut terkesan dengan impak akibat kejatuhan teruk harga minyak sejak 2015 kemudian bertindak melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sumber ekonomi baharu pada tahun itu.
Bagaimanapun, peningkatan harga minyak global dijangka memberi kesan terhadap corak perbelanjaan rakyat tetapi persoalannya, bersediakah pengguna di negara Asia tersebut dengan trend lonjakan harga bahan bakar.
Berbanding jirannya, Singapura dan Indonesia tertekan apabila harga minyak naik, rakyat Malaysia wajar lebih bersyukur kerana kadar masih stabil tetapi kuat merungut waima hanya naik 1 sen! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Loading...