Seorang kanak-kanak perempuan Afghan bernama Naghma berusia 6 tahun hampir saja menjadi mangsa perkahwinan bawah umur dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Ia berpunca daripada ketidakmampuan si ayah Taj Mohammad melunaskan hutang kepada ayah remaja lelaki tersebut.
Sebelum itu, Taj Mohammad sekeluarga yang tinggal di khemah pelarian menghadapi masalah kewangan untuk biaya kos perubatan hospital buat isteri dan sembilan orang anaknya, termasuk seorang anaknya yang kini meninggal akibat cuaca sejuk.
Kekacauan yang berpanjangan di Afghanistan menyebabkan rakyat biasa seperti Taj tertekan akibat masalah cuaca sejuk, risiko terbunuh dalam serangan dan kesukaran mendapatkan makanan, perubatan dan tempat tinggal.
Terdesak dengan masalah ini, Taj terpaksa meminjam wang sebanyak $2,000 dari seorang lelaki.
Menurut Taj jika dia tidak mampu melangsaikan hutang pada tahun berikutnya, Naghma terpaksa dikahwinkan dengan anak lelaki si pemberi hutang.
“Semua dalam keluarga ini sedih. Kami menangis. Kami sengsara. Tapi apa lagi mampu kami lakukan?” luah nenek Naghma kesal.
“Mereka menuntut hutang dilangsaikan. Taj tidak mampu membayarnya, jadi mereka mendesaknya memberikan Naghma,” luahnya lagi.
Menurut Taj, orang tua dalam keluarganya menasihatkan supaya dia menyerahkan Naghma sebagai cara membayar hutang.
Sebagai ayah dia juga sedih kerana Naghma terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.
“Dia hanya menangis apabila saya bercakap mengenainya,” kata Taj dalam nada sedih.
“Jika saya dapat memberikan mereka sedikit wang, sudah tentu saya boleh menangguhkan perkahwinan Naghma sehingga usianya mencecah 14 atau 16 tahun,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Naghma bernasib baik apabila seseorang yang tidak dikenali sudi melunaskan hutang ayahnya tanpa mengharapkan balasan. Kini Naghma tidak perlu risau kerana dia kekal bersama dengan keluarganya sekurang-kurangnya dalam beberapa tahun lagi.
Buat masa ini Naghma meneruskan hidup penuh kemiskinan bersama keluarga di Khemah Pelarian Kabul. Dia adalah salah satu kanak-kanak Afghanistan yang bernasib baik terhindar dari perkahwinan dalam usia yang sangat muda.
Menurut Pengarah Eksekutif Wanita Untuk Wanita Afghan, Manizha Naderi, adalah menjadi satu kebiasaan, anak gadis dijadikan pertukaran untuk membayar hutang keluarga walaupun masih terlalu mentah untuk menjalani hidup berumahtangga.
Walaupun kerajaan Afghanistan menetap usia perkahwinan 16 bagi perempuan dan 18 untuk lelaki, masalah perkahwinan bawah umur masih berleluasa kerana ia sudah menjadi amalan dalam budaya mereka sejak dahulu. Ketidakcukupan sumber untuk menguatkuasakan peraturan usia minima perkahwinan juga menjadi salah satu penyebabnya.
Comments
comments