loading...

Wujud Dana Promosi Minyak Sawit Didik Pengguna Eropah

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mewujudkan dana untuk promosi program kesedaran bagi mendidik pengguna terutamanya di Eropah mengenai manfaat minyak sawit keluaran Malaysia.

Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berkata langkah tersebut perlu berikutan wujud usaha untuk menghentikan penggunaan minyak sawit di Eropah, sekali gus membantutkan langkah kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian khususnya kelapa sawit di negara ini.

“Parlimen Eropah baru-baru ini, membuat resolusi mengenai minyak sawit dan penyahhutanan hutan tropika. Kalau pada 1980-an Amerika Syarikat mengamalkan kempen anti-minyak sawit tropika dan sekarang Eropah pula,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkata kerajaan perlu mempertahankan industri minyak sawit negara kerana ia menyumbang enam peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu RM67.7 bilion pada tahun lepas, di samping kira-kira 650,000 pekebun kecil dan empat juta orang yang bergantung hidup dengan kelapa sawit.

Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) pula berkata isu kesihatan dan penyahhutanan yang dibangkitkan pihak tertentu di Eropah sekadar hanya untuk melindungi produk keluaran tempatan mereka.

“Semua isu ini dibangkitkan kerana minyak sawit masuk ke dalam kawasan minyak-minyak tradisi lain di Eropah seperti minyak jagung dan biji bunga matahari,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mencadangkan supaya kerajaan mengatur pertemuan dengan media di Eropah seterusnya membawa mereka ke Malaysia dalam memberi kesedaran mengenai industri kelapa sawit negara.

Sejumlah hampir RM140 juta diperuntukkan bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi menerusi Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas.

Ia merupakan antara peruntukan berjumlah RM6.5 bilion dalam Bajet 2018 bagi memperkasa dan memajukan sektor pertanian negara. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...