loading...

Jalin Kerjasama Tangani Kes Sengaja Dibakar

PUTRAJAYA- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dijangka menandatangani Nota Kerjasama (NoU) tidak lama lagi bagi meningkatkan hubungan khususnya dalam menangani kes-kes sengaja dibakar.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata NoU berkenaan dijangka akan melicinkan lagi pengendalian kes sengaja dibakar.

“Berdasarkan statistik hingga Julai 2017, jumlah kes sengaja dibakar yang dicatatkan adalah 155 kes atau secara purata 25 kes sebulan berbanding keseluruhan kebakaran struktur.

“Walaupun peratusan bagi kes ini kecil, namun perlu diberi perhatian serius kerana ia mencerminkan status keselamatan negara dan boleh mendatangkan impak negatif sekiranya tidak dibendung,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan JBPM di ibu pejabat JBPM di sini hari ini.

Wan Mohd Nor berkata laporan kes sengaja dibakar yang disiasat akan diserahkan kepada PDRM segera untuk siasatan lanjut supaya pesalah yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan dikenakan hukuman.

Pada majlis itu beliau menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) selain mengetuai warga kerja JBPM melafazkan IBR di hadapan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Samat Kasah.

Beliau berkata melalui komitmen bebas rasuah yang dilafazkan dan ditandatangani hari ini, JBPM ingin mencapai tahap sifar rasuah dalam kalangan warga kerjanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...