HANYA diminta alih kenderaan yang halang laluan, seorang lelaki kononnya bergelar ‘Datuk Seri’ didakwa bertindak melampau dengan memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Difahamkan, kejadian serangan tersebut berlaku hanya kerana ketiga-tiga anggota beruniform itu dikatakan tidak menunjukkan perasaan hormat kepada lelaki terbabit.
Insiden ini dipercayai berlaku di hadapan sebuah tokong di Ampang, Selangor pada pagi Jumaat ketika orang ramai sedang meraikan satu sambutan dan sepasukan anggota Rela telah ditugaskan untuk bantu memantau lalu lintas.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Rela, Datuk Seri Michael Chong, ketika kejadian berlaku mangsa iaitu Ranbo Lee, 27; Jackie Leong, 21; dan Melvin Cheong, 19 hanya meminta lelaki berkenaan untuk alih kenderaan.
Ini kerana kereta tersebut menghalang lalu lintas. Bagaimanapun, satu pertelingkahan telah berlaku antara lelaki berusia 28 tahun itu dengan anggota terlibat.
“Si pemandunya mendakwa perlu meminta kebenaran majikan dan apabila lelaki berusia 28 tahun itu mendapat tahu mengenai hal tersebut, dia naik angin.
“Satu pertelingkahan berlaku selepas lelaki itu menuduh anggota Rela berkenaan tidak menunjukkan hormat kepadanya.
“Dalam kejadian itu, Ranbo lebam dan bengkak pada mata kirinya, badan Jackie ditendang manakala Melvin dipukul di kepala oleh lelaki itu,” katanya dipetik Harian Metro.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan insiden tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pengesahan status suspek juga sedang dilakukan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AM
Loading...