MASIH merindui suasana di lokasi penggambaran, Lisa Surihani akui dia ‘kalah’ dengan komitmennya terhadap keluarga terutama sekali anak-anaknya yang masih kecil.
Kata Lisa, 31, dia masih menerima pelbagai tawaran tetapi lebih selektif dalam naskhah yang akan dijayakan kerana mahu meluangkan lebih masa bersama dua permata hatinya, Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.
“Bukan tidak mahu berlakon, tetapi saya harus memilih naskhah yang berbaloi dan berkualiti. Banyak perkara yang perlu saya teliti terutama dari segi watak, jalan cerita selain pengarah. Tidak dinafikan, saya rindu untuk berlakon tetapi keutamaan saya tidak lagi seperti dulu.
“Dalam hidup, kita pasti akan melalui fasa perubahan. Ketika ini, saya lebih banyak meluangkan masa di rumah untuk bersama anak. Mereka adalah kurniaan terbesar, membuatkan saya sentiasa rindu setiap kali keluar bekerja.
“Mungkin kerana itu, hati saya agak berat untuk kembali aktif seperti dulu,” kata isteri kepada komposer dan pengarah filem, Yusry Abdul Halim itu.
Kali terakhir menjayakan telefilem Kontena Ana arahan Bernard Chauly, Ogos lalu, Lisa berkata, masanya kini banyak terisi dengan memenuhi komitmen sebagai jurucakap kepada beberapa jenama, kempen dan pertubuhan.
“Saya kini aktif dengan kempen #CyberSafe: Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-Kanak di Alam Siber, selain kempen persediaan seksual atau sexual grooming dan program anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Selepas melahirkan anak, kesedaran terhadap isu berkaitan semakin tinggi. Menerusi kempen ini, ia tidak hanya menambah ilmu, sebaliknya saya turut membantu ibu bapa dan anak lain. Saya menyertainya kerana percaya ia membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada BH Online.
Walaupun sibuk, Lisa tetap mencari masa untuk diri dengan melakukan aktiviti sihat seperti bersenam bagi mendapatkan berat badan ideal.
Kata Lisa, dia berusaha keras untuk kembali mendapatkan berat badan sasaran.
“Berat saya sudah turun beberapa kilogram, tetapi belum mencapai sasaran yang diinginkan. Saya masih mencuba dengan bersenam di gimnasium, selain bermain badminton. Saya mula aktif mengeluarkan peluh selepas melahirkan anak sulung,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC
Loading...