KUALA LUMPUR – SATS Ltd, peneraju perkhidmatan di lapangan terbang dan penyelesaian makanan di Asia, dan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, hari ini memeterai kerja sama bagi kendalian darat di rantau ASEAN yang berkembang pesat.
“Kami percaya usaha sama ini akan membolehkan AirAsia memanfaatkan nilai penting dan diperluaskan sepertimana yang telah dilakukan bersama AirAsia Expedia, akademi penerbangan kami, Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia dan seterusnya pada akhir tahun ini, Asia Aviation Capital.
“Aset-aset kami amat bernilai dan secara perlahan-lahan orang ramai dapat melihat nilai sebenar AirAsia sebagaimana dibuktikan menerusi pengumuman hari ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan.
Pakatan yang dijalinkan itu antara lainnya menyaksikan AirAsia dan SATS menubuhkan entiti kendalian darat, SATS Ground Services Singapore Pte Ltd (SGSS) bagi kemudahan pelanggan di Terminal 4 baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Menerusi pakatan itu, SATS akan mengambil alih 50 peratus kepentingan dalam Ground Team Red Holdings Sdn Bhd (GTRH) sebagai pertukaran dengan 80 peratus kepentingan SATS dalam SGSS dan pertimbangan tunai agregat sebanyak SG$119.3 juta (kira-kira RM372.2 juta), kata kenyataan itu.
GTRH akan dikenali sebagai SATS Ground Team Red Holdings Sdn Bhd yang merupakan cabang pelaburan bersama dengan kepentingan 50:50 AirAsia dan SATS membabitkan pegangan kepentingan di Malaysia dan Singapura iaitu Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) dan SGSS.
AirAsia akan memegang 51 peratus (kepentingan) dalam of GTR dan 40 peratus dalam SGSS manakala SATS akan memiliki 49 peratus dalam GTR dan 60 peratus SGSS, kata syarikat penerbangan itu.
Kedua-dua syarikat akan bertanggung jawab bagi mengembangkan perniagaan kendalian di darat menerusi pasaran masing-masing serta meninjau kemungkinan ia diperluaskan ke Indonesia, Filipina dan Thailand pada masa depan.
SATS telah melaksanakan teknologi untuk meningkatkan kesalinghubungan bagi pesawat dan pelanggan menerusi usaha pengembangan rangkaian di 47 lapangan terbang sekitar Asia.
Usaha sama baharu itu akan memberi SATS yang juga pemilik 49 peratus kepentingan dalam penyedia sajian makanan dalam pesawat terbesar di Malaysia, Brahim’s SATS Investment Holdings Sdn Bhd, akses kepada pasaran perkhidmatan kendalian darat di Malaysia.
Kerja sama itu juga akan turut menyokong pertumbuhan pesat AirAsia ke arah mencapai sasaran sebanyak 500 pesawat dan 150 juta penumpang menjelang 2027 dengan menggabungkan kepakaran AirAsia dalam penyediaan penyelesaian pantas dan kos lebih rendah menerusi amalan terbaik industri dan teknologi inovatif dibangunkan SATS. – BERNAMA
Loading...