JOHOR BAHRU – Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya menzahirkan takziah atas pemergian bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, hari ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata sebagai presiden dan ketua eksekutif JCorp selama lebih 28 tahun iaitu dari 1982 hingga 2010, Allahyarham banyak menyumbang jasa dan bakti hingga menjadikan JCorp sebagai sebuah konglomerat yang disegani di rantau ini.
“Seluruh anggota pekerja dan barisan pengurusan JCorp serta syarikat kumpulannya merakamkan ucapan takziah dengan pemergian Muhammad Ali.
“Iltizam Allahyarham mempraktikkan prinsip ekonomi Islam dalam sistem pengurusan korporat serta komitmen melaksanakan program pembangunan keusahawanan bumiputera selain memperkenalkan wakaf korporat menjadikan beliau antara tokoh ekonomi terkemuka yang pernah Johor dan Malaysia lahirkan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Kamaruzzaman berkata sesungguhnya seluruh anggota pekerja dan barisan pengurusan JCorp amat berbangga kerana Allahyarham Muhammad Ali pernah memimpin JCorp hingga ke persada kejayaan.
“Justeru, bagi pihak seluruh anggota pekerja JCorp dan syarikat kumpulannya, saya mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Kami doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman,” katanya. Muhammad Ali, 70, meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 3.30 petang.
Menurut anggota keluarga terdekat, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua bulan lepas kerana menghidap barah. – BERNAMA
Loading...