loading...

M’sia Bakal Lebih Dikenali Sebagai Destinasi Pelancongan

NEW DELHI – Sebaik termeterainya perjanjian mengenai promosi dan pemasaran dengan Lapangan Terbang Hyderabad, ia sekaligus bakal menyerlahkan lagi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada pelawat dan penduduk di selatan India.

Perjanjian tiga pihak itu, ditandatangani antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan GMR Hyderabad International Airport Ltd (GHIAL).

“Ini adalah kali pertama Tourism Malaysia menandatangani perjanjian seumpama itu dengan sebuah lapangan terbang. Kami gembira dapat menjalinkan kerjasama memberi peluang rangkaian perkhidmatan digunakan,” kata Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud kepada Bernama.

Di samping menggalakkan pelawat mengunjungi Malaysia melalui Hyderabad, yang merupakan hab perniagaan dan teknologi utama di selatan India, kempen itu juga dijangka meningkatkan usaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan India untuk memperkenalkan perkhidmatan penerbangan ke Malaysia.

“Kami berharap langkah berkenaan akan meyakinkan syarikat penerbangan India untuk memulakan penerbangan ke Malaysia, kerana terdapat potensi luas meningkatkan trafik udara antara India dan Malaysia,” kata Abdul Khani.
Malaysia menerima kira-kira 638,000 pelancong dari India tahun lepas dan sasaran Tourism Malaysia seterusnya ialah sejuta pelawat setahun.

Hyderabad dalam usaha untuk menjadi hab perjalanan bagi negeri Telangana dan Andhra Pradesh, serta sebahagian kawasan Odisha dan Karnataka.

Ketua pegawai eksekutif lapangan terbang GHIAL, SGK Kishore, berkata kira-kira 100,000 orang mengembara ke Malaysia melalui Hyderabad, menyaksikan pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 28 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Perjanjian itu turut merangkumi penyelidikan pasaran bersama, pembangunan strategi, kempen promosi dan usaha pemasaran. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...