loading...

Polis Rakam Percakapan Saksi Kemalangan Di Tapah

TAPAH – Polis telah merakam percakapan seorang pemandu kereta bagi membantu siasatan kes kemalangan maut yang melibatkan sebuah lori ais dengan sebuah van di KM 45 Jalan Ipoh-Teluk Intan dekat Mambang Di Awan, Kampar Sabtu lepas yang meragut sembilan nyawa.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata pihaknya berjaya mengesan pemandu berumur 47 tahun itu yang merupakan saksi kejadian selepas nombor plat keretanya ditemukan kira-kira pukul 4 petang semalam di kawasan kejadian.

“Pemandu tersebut telah mengaku semasa kejadian, dia yang memandu kereta jenis Proton Iswara dilanggar lori muatan air batu sebelum lori itu merempuh sebuah van yang berada di belakang keretanya.

“Lelaki itu kemudian menyimpan kereta di rumah dan tidak membuat laporan polis kerana tiada lesen memandu dan kereta itu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Som Sak berkata pemandu yang beralamat di Langkap kemudian telah membuat satu laporan polis kira-kira pukul 12.54 tengah malam tadi dan Proton Iswara miliknya ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk tindakan lanjut.

“Pemandu telah dirakam percakapan. Semasa kejadian berlaku dia dalam perjalanan ke pasar untuk jual sayur,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, sembilan termasuk lapan wanita pekerja ladang sengkuang di Malim Nawar maut selepas van dinaiki dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan.

Kejadian itu menyebabkan pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan telah dibenarkan pulang kira-kira pukul 7.30 malam semalam.

Som Sak berkata bagaimanapun, pemandu berumur 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.50 malam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...