Sekiranya anda gemar menonton filem Barat berkisarkan kehidupan pada zaman dahulu, besar kemungkinan anda pernah menonton satu babak di mana seekor burung telah digunakan untuk menghantar mesej kepada seseorang yang berada jauh berpuluh atau beratus kilometer.
Pernahkah anda terfikir bagaimana burung ini dilatih? Bagaimanakah burung tersebut mengetahui lokasi yang dituju?
Peranan burung merpati semasa Perang Dunia
Bagi tujuan menghantar mesej kepada seseorang yang berada dalam jarak yang jauh, burung merpati telah digunakan sejak ratusan tahun yang lalu. Ketika zaman Greek, burung merpati digunakan untuk menyampaikan pengumuman semasa pertandingan Olimpik.
Ketika Perang Dunia Pertama, burung merpati digunakan secara meluas untuk menghantar pesanan terutamanya di medan perang. General John Pershing telah menubuhkan sebuah unit khas dalam tentera Amerika Syarikat yang bertujuan melatih burung-burung merpati sebagai agen penghantar pesanan. Dianggarkan sebanyak 500,000 ekor burung merpati digunakan semasa Perang Dunia Pertama untuk tujuan ini.
Burung merpati menjadi pilihan sebagai agen penghantar mesej. Ketika zaman peperangan, burung merpati ini digunakan terutamanya daripada pasukan askar di medan peperangan untuk mendapatkan bantuan atau menghantar mesej penting. Setelah tamatnya Perang Dunia Pertama, penggunaan burung merpati sebagai agen penghantar mesej berkurangan.
Setelah Perang Dunia Ke 2 meletus, burung merpati sekali lagi digunakan dalam jumlah yang banyak sebagai agen penghantar mesej. Tentera Jerman pada ketika itu menggunakan kira-kira 50,000 ekor burung merpati sebagai agen penghantar mesej. Pada 1941, Amerika Syarikat telah menubuhkan sebuah pusat latihan dan penternakan burung merpati di Fort Monmouth. Ianya juga menjadi pusat penyelidikan bagi membendung serangan penyakit terhadap burung-burung ini.
Cara burung merpati dilatih
Seekor burung merpati biasanya mengambil masa beberapa bulan sebelum diberikan tugas sebenar sebagai agen penghantar mesej. Berikut merupakan cara burung merpati ini dilatih:
1. Apabila seekor burung merpati telah mencapai umur 4 minggu, ianya akan diletakkan dalam sebuah sangkar bergerak. Sangkar bergerak ini dibawa ke beberapa destinasi setiap hari, 3 kali sehari (pagi, tengah hari, malam) selama beberapa minggu.
2. Setelah burung tersebut berumur 8 minggu dan sudah mampu terbang selama minimum satu jam, ianya akan mula dilatih sebagai agen penghantar mesej.
3. Mula-mula, satu kawasan pangkalan akan ditetapkan bagi burung ini. Kawasan pangkalan inilah yang akan menjadi destinasi yang dituju oleh burung merpati ini tidak kira daripada mana mereka dilepaskan.
4. Pada peringkat awal latihan, burung ini akan dilepaskan kira-kira 5 batu daripada kawasan pangkalan mereka. Setelah latihan ini berjaya dilakukan selama beberapa kali, jaraknya daripada kawasan pangkalan akan ditambah lebih jauh, contohnya 10 batu, 20 batu dan seterusnya sehinggalah berjaya mencapai jarak sekurang-kurangnya 50 batu.
5. Apakah yang menjadi faktor utama burung ini kembali ke kawasan pangkalannya? Pemberian insentif berupa makanan dan minuman. Burung merpati ini dilatih supaya sekiranya mereka mahu makan, maka mereka perlu kembali kawasan pangkalan. BIasanya ia akan dibiarkan lapar sebelum dihantar untuk tujuan menghantar mesej.
6. Mesej yang dihantar biasanya akan ditulis di atas kertas dan diikat pada kaki burung.
Selain itu, perlu diketahui bahawa seekor burung hanya dilatih untuk menuju ke satu destinasi dalam satu arah sahaja. Maka sekiranya anda ingin menghantar mesej ke kawasan lain, maka seekor burung lain perlulah dilatih bagi tujuan tersebut.
Penggunaannya pada zaman kini
Kini penggunaan burung merpati sebagai agen penghantar mesej sangat jarang didengari tetapi masih ada. Sebagai contoh, agen pelancong biasanya akan menggunakan khidmat burung merpati ini untuk menghantar kad memori yang berisi gambar pelancong yang diambil di Glowworm Caves, New Zealand kepada pihak percetakan gambar. Ini membolehkan gambar-gambar tersebut dicetak terlebih dahulu dan pelancong boleh membelinya sebaik tiba di tempat menjual gambar tersebut.
Kelebihan dan kekurangan
Semasa Perang Dunia, penghantaran mesej menggunakan burung merpati ini dikatakan mempunyai peratusan kejayaan setinggi 90%. Cara ini menjadi pilihan utama memandangkan ianya lebih pantas pada zaman tersebut.
Walau bagaimanapun, tidak semua burung berjaya sampai ke destinasi kerana ada sebahagiannya berjaya ditembak mati oleh pihak musuh. Bagi memastikan sesuatu mesej yang dihantar oleh askar di medan perang benar-benar sampai ke destinasi, biasanya beberapa ekor burung yang menghantar mesej yang sama dilepaskan.
Sekiranya terdapat burung yang ditembak mati, sekurang-kurangnya ada lagi burung yang berjaya terbang sehingga sampai ke destinasi. Maka, tidak hairanlah kira-kira 50,000 ekor burung merpati digunakan sebagai agen penghantar mesej oleh tentera Amerika Syarikat dan Jerman.
Kesimpulannya, melatih seekor burung menjadi agen penghantar mesej bukanlah perkara yang mudah. Ianya mengambil masa yang lama. Selain itu, seekor burung juga hanya mampu menuju ke satu destinasi yang ditetapkan sebagai kawasan pangkalan. Bagi menghantar mesej ke destinasi lain, maka seekor burung lain perlu dilatih bagi tujuan tersebut.
Kredit:
- WikiPedia
- Quora
- Mom.me