Kredit foto: Instagram Rita Rudaini
Aktres Rita Rudaini akui dia punya keinginan untuk memiliki anak perempuan.
Bagaimanapun pelakon berusia 41 tahun itu mahu cahaya mata tersebut datang daripada zuriatnya sendiri.
"Seronok tengok orang mengandung sebenarnya. Dalam hati memang rasa teringin sangat nak ada anak perempuan.
"Tetapi, semuanya saya serahkan kepada rezeki Allah.
"Kalau ditanya tentang anak angkat rasanya belum sampai masanya lagi sebab saya mahu zuriat itu daripada darah daging saya sendiri.
"Sebab itulah saya membela seekor kucing betina bernama Dahlia. Bolehlah buat peneman," katanya.
Rita membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran produk Safi Rania Gold Beetox yang berlangsung di St. Giles, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rita berkata, dia juga tidak serik untuk mendirikan rumah tangga meskipun sudah dua kali bercerai.
Apa yang penting, pelakon drama Ketupat Rendang Brownies Coklat ini mahukan seorang lelaki yang mampu menjadi bapa terbaik kepada anak-anaknya.
"Sehingga sekarang saya masih solo dan tidak serik pun untuk berkahwin. Cuma hakikatnya saya tidak mencari.
"Bagi saya, kehidupan saya kini bahagia di samping anak-anak dan jika Allah hantarkan jodoh kepada saya, biarlah dia jadi yang terbaik untuk anak-anak saya," katanya lagi.
Terdahulu, Rita mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak, namun bercerai dengan talak satu pada tahun 2013 selepas lima tahun usia perkahwinan.
Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 8, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.