KUALA LUMPUR ― Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengecam Teresa Kok dengan menyifatkan wakil rakyat DAP itu “gila sedikit”.
Menteri Wilayah Persekutuan mengulas tindakan Kok, ahli parlimen Seputeh, membantah projek rumah kos rendah di Taman Danau Desa di sini semalam.
Tengku Adnan berkata rumah mampu milik itu akan dijual kepada orang ramai dengan harga RM188,000 hingga RM245,000, lapor Malaysia Gazette.
“[Ahli parlimen] DAP marah, ini gila [atau] tidak gila?” katanya.
Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang membangunkan rumah lama dan kawasan berpotensi bagi membuka peluang orang ramai membeli rumah dengan murah.
“Saya rasa dia [Kok] ini gila sikit, saya tidak faham kerana kita ada satu program di mana kita akan bangunkan rumah lama dan juga kawasan-kawasan, pada pandangan kita, tidak diguna pakai oleh rakyat.
“Jadi kita akan bangunkan semula untuk beri peluang kepada rakyat beli rumah dengan murah,” katanya.
Tengku Adnan membuat spekulasi mungkin Kok bimbang masyarakat Melayu bertambah di kawasan parlimennya dan mahu menghalang perkembangan itu.
“Barangkali dia fikir demografi dia, takut kita bawa orang Melayu lebih ramai di Seputeh, dia otak jahat tetapi apabila kita laksanakan kita buat untuk semua, tidak kira bangsa Cina, India.
“Tapi ini masalah mereka pembangkang, mereka tidak boleh buat, maka dia rasa cemburu dan dia akan buat macam-macam,” katanya lagi seperti dilaporkan. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW