SEPANG – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dicabar memulangkan semula kad mesin juruwang automatik (ATM) Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) selepas beliau tidak lagi bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan Teresa yang masih menggunakan kad tersebut sangat menghairankan kerana beliau merupakan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan, bukannya di Selangor.
Malah, katanya, pengakuan oleh Teresa sendiri bahawa beliau menerima peruntukan tersebut membuktikan dakwaan Pengerusi Gabungan NGO, Datuk Seri Jamal Md. Yunos baru-baru ini benar.
“Saya cabar Teresa isytiharkan dan pulangkan semula wang Yawas yang diberikan oleh kerajaan negeri. Sebelum ini beliau merupakan ADUN Kinrara namun, kini bukan lagi.
“Dana Yawas disediakan untuk ADUN dan Ahli Parlimen di Selangor sahaja untuk disumbangkan kepada waris yang telah meninggal dunia. Setiap keluarga akan diberikan sumbangan sebanyak RM2,500,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil di sini hari ini.
Sebelum ini, Jamal mendakwa, Teresa berbohong dan seorang wakil rakyat hipokrit kerana tidak mengaku telah menggunakan wang hampir RM2 juta sejak 2016 sehingga 24 Februari 2017.
Menurut Jamal, wang tersebut dikeluarkan melalui kad ATM Ambank atas nama Teresa sendiri.
Dalam pada itu, Noh turut mencabar Teresa supaya menyaman Jamal sekiranya dakwaan yang dilemparkan itu merupakan fitnah.
Sementara itu, Noh juga menyelar sikap Teresa yang cuba mencari publisiti murahan dengan membantah pembinaan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) sehingga mengganggu satu majlis perkahwinan di Dewan Komuniti Seputeh semalam.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak termakan dengan sandiwara tersebut kerana akhirnya akan merugikan diri sendiri.
“Teresa jangan cuba menjadi hero dengan membantah projek perumahan awam ini. Kita harap beliau belajar daripada kesilapan yang dilakukan terhadap Projek Residensi Kerinchi.
“Sebelum projek itu dimulakan, Ahli Parlimen Lembah Pantai telah membantah sehingga berlarutan ke mahkamah dan akhirnya menyebabkan 35 orang penduduk yang termakan hasutan pembangkang rugi,” katanya. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW