JAKARTA – INDONESIA. Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dilapor membawa hampir 500 tan bagasi termasuk dua limosin Mercedez Benz S600 serta dua lif elektrik dalam lawatannya ke Indonesia selama sembilan hari.
Ini lawatan kali pertama setelah 46 tahun Raja Arab Saudi itu melawat negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia.
Menurut presiden syarikat kargo udara PT Jasa Angkasa Semesta (JAS), Adji Gunawan, syarikatnya itu mengendalikan 459 tan kargo yang mengandungi peralatan milik Raja Salman semasa lawatannya ke Indonesia pada 1 hingga 9 Mac.
Adji berkata, 63 tan dipunggah di lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur, manakala baki 396 tan akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar, Bali.
“Kami secara rasmi dilantik untuk mengendalikan semua [kargo] milik pesawat rombongan raja,” Adji dipetik Antara.
Antara kargo khas ialah dua unit Mercedes-Benz S600, yang tiba di Denpasar pada 18 Februari, satu lif elektrik yang tiba di Halim Perdanakusuma pada 21 Februari, satu lagi lif elektrik yang tiba di Denpasar pada 22 Februari bersama-sama dengan peralatan lain.
Rombongan raja yang terdiri daripada 620 orang akan tiba di Indonesia dari 15-28 Februari.
Menurut Adji, selain dari rombongannya, Raja Salman akan membawa bersama-sama 800 perwakilan, termasuk menteri, dan 25 raja-raja, yang akan tiba dari 15 Februari – 4 Mac dengan 27 penerbangan ke Halim Perdanakusuma dan sembilan penerbangan ke Ngurah Rai.
Adji berkata, syarikatnya akan menggunakan 178 pekerja di Jakarta dan 394 pekerja di Denpasar.
Keluarga diraja Arab itu memang terkenal dengan perjalanan dalam gaya mewah.
Raja Salman pernah menempah keseluruhan 222 bilik di hotel mewah Four Season di Georgetown ketika beliau melawat Washington pada tahun 2015
Pada tahun yang sama, raja itu telah dikritik oleh beberapa penduduk tempatan selepas 1,000 orang rombongannya memaksa penutupan pantai di Riviera Perancis selama tiga hari berikutan kebimbangan privasi dan keselamatan.-SInar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW