KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar enggan bertanggungjawab diatas kerugian yang dialami oleh 35 bekas penduduk pangsapuri Kampung Kerichi dianggap sebagai tindakan zalim.
Setiausaha Badang Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, PKR khususnya Nurul Izzah harus bertanggungjawab terhadap 35 keluarga yang terlepas peluang memiliki kediaman Residensi Kerinchi bernilai hampir setengah juta ringgit.
“Dia (Izzah) tak boleh ‘cuci tangan’ sebab dia yang hasut rakyat supaya tolak pembangunan tersebut.
“Saya kecam Nurul Izzah kerana baling batu sembunyi tangan. Dia zalimi pengundi Lembah Pantai,” kata Syed Ali kepada Malaysian Digest.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nurul Izzah membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung 35 keluarga terlepas peluang untuk menduduki pangsapuri lebih selesa ekoran termakan hasutan pembangkang.
Menurut Najib, Izzah suatu masa dahulu cuba untuk mensabotaj pembangunan semula pangsapuri empat tingkat di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai dengan menghasut beberapa penduduk untuk membantah projek berkenaan.
Seramai 35 keluarga menyokong Izzah berbanding 472 keluarga lain yang bersetuju agar pangsapuri berkenaan diberikan nafas baru.
“Saya cukup musykil dengan ahli parlimen Lembah Pantai (Nurul Izzah) yang cuba gagalkan projek ini dan bawa ke mahkamah sebab dia utamakan politik, tetapi akhirnya gagal.
“Yang jadi mangsa adalah 35 orang yang terikut dengan hasutan dan mereka sekarang menyesal,” kata Najib.
Izzah menerusi kenyataan responnya berkata Najib tidak perlu menyakiti hati bekas penduduk yang tidak mendapat manfaat pembangunan Residensi Kerinchi.
“Jika Najib hendak politikkan isu perumahan, pembangunan rakyat, jangan sampai menyakiti hati mereka (penduduk) lagi dengan sindiran yang tak perlukan.
“Najib saya sarankan hormatilah hak penduduk, harapan dan maruah orang kawasan Kampung Kerinchi lebih-lebih lagi rakyat Malaysia,” kata Nurul Izzah.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai Mohd Nazri Abdul Rahman mendesak agar anak sulung bekas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memohon maaf kepada ahli keluarga yang termakan dengan hasutannya dahulu.
“Saya minta Nurul Izzah buatlah permohononan maaf secara terbuka kepada 35 buah keluarga itu. Ini memandangkan beliau merupakan punca utama mengapa 35 buah keluarga itu akhirnya terlepas peluang memiliki rumah mewah dan selesa di situ.
“Tak payah lah tuding jari ke sana ke sini mahu mengalih kesalahan kepada orang lain,” katanya.
Tegasnya, insiden ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada rakyat bahawa pembangkang akan cuba mencipta isu untuk menghasut rakyat bagi membantah apa jua keputusan kerajaan sungguhpun langkah berkenaan adalah yang terbaik kepada masyarakat.
“Kita kena tahu, keraja utama pembangkang adalah untuk menggagalkan apa juga projek kerajaan untuk kebaikan rakyat. Seperti apa yang dilakukan oleh Nurul Izzah terhadap penduduk Kerinchi, modus operandi yang sama juga digunakan oleh pihak pembangkang dalam isu-isu lain.
“Kegagalan kerajaan melaksanakan projek untuk rakyat adalah satu kemenangan politik bagi mereka. Itu sebenarnya tujuan mereka,” katanya lagi. – Malaysian Digest
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW