loading...

Mawi Kembali Berlakon selepas 7 Tahun

Selepas kali terakhir muncul menerusi filem Magika sekitar tujuh tahun lalu, penyanyi Mawi bakal kembali ke bidang lakonan selepas dipelawa pengarah Syamsul Yusof.

Menurut Mawi, dia mahu membintangi filem terbaharu Munafik 2 itu atas dasar persahabatan yang baik dengan pengarah itu, lapor AstroGempak.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 32, mengakui sukar untuk bekerja dengan orang yang tidak rapat atau dikenalinya.

“Mesti susah untuk saya bekerja dengan orang yang saya sendiri tidak kenal. Sejak kami berduet dalam lagu Kalah Dalam Menang, kami lebih mengenali cara kerja satu sama lain jadi saya harap tiada masalah untuk saya terjun kembali ke bidang lakonan dan bekerja bawah Syamsul.

“Saya melihat ini satu peluang untuk berkolaborasi sekali lagi dan sejujurnya kami tidak pernah bersembang mengenai bidang lakonan selama ini. Apabila ditawarkan sudah pasti saya pun terkejut,” katanya

Mawi akan mendukung peranan seorang ustaz bernama Azhar yang mengamalkan agama Islam secara senyap-senyap.

Mengakui sedikit gementar untuk kembali ke set penggambaran setelah sekian lama berehat daripada bidang itu, penyanyi lagu Aduh Saleha itu lebih tertekan dengan penanda aras yang telah diletakkan dalam filem Munafik tahun lalu.

“Filem Munafik tahun lalu menjadi satu fenomena dan telah merangkul pelbagai anugerah hebat jadi tekanan untuk saya memberikan mutu lakonan terbaik lebih tinggi.

“Sudah pasti perasaan gemuruh itu lebih kuat sebab saya khuatir teknik lakonan saya tidak cukup bagus untuk menyuntik elemen suspens,” katanya.

Dalam pada itu, Mawi mendedahkan dia dan Syamsul akan berduet sekali lagi untuk lagu tema filem seram itu.

Munafik bakal memulakan penggambaran pada 20 Mac dan membariskan pelakon lain seperti Maya Karin, Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan, Fizz Fairuz, Ku Faridah dan Datuk Rahim Razali.

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...