loading...

Malaysia Perinci Kerjasama Latih Tentera Laut Arab Saudi Kendali Kapal Selam

SEPANG – Malaysia sedang memperincikan kerjasama ketenteraan dengan Arab Saudi dalam pelbagai aspek termasuk kemungkinan melatih anggota tentera laut negara teluk itu dalam kemahiran mengendalikan kapal selam.

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perkara itu antara yang dibincangkan dengan delegasi Arab Saudi dalam pertemuan mereka di luar program lawatan negara 4 hari Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, yang berakhir hari ini.

 

“Persefahaman bagi latihan kepada anggota Tentera Laut Arab Saudi itu sebagai persediaan negara itu menerima armada kapal selam pertama mereka,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengucapkan selamat jalan kepada Raja Salman, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, di sini.

 

Hishammuddin yang merupakan menteri pengiring sepanjang lawatan Penjaga 2 Kota Suci itu berkata di pihak Malaysia, beliau sendiri meneliti kerjasama berkenaan dan panglima Tentera Laut Diraja Malaysia sedang menguruskan perinciannya.

 

“Semua maklum bahawa mereka tidak ada ‘submarine fleet’ (armada kapal selam) dan dalam perancangan mereka mungkin nak meluaskan ‘class submarine’ (kelas kalap selam) di sana, tapi sambil menunggu kapal-kapal untuk Arab Saudi, kita (Malaysia) mungkin boleh pastikan latihan untuk anggota tentera laut mereka,” katanya.

 

Malaysia mempunyai pusat latihan kapal selam dan simulasi kapal selam di Teluk Sepanggar, Sabah.

 

Selain itu, Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan juga melihat kepada kemungkinan membeli dan membiayai pesawat pejuang dan helikopter daripada ‘aset lebihan’ Arab Saudi.

 

Katanya perincian kerjasama antara kedua-dua negara itu akan bincangkan lebih lanjut dengan Menteri Pertahanan Arab Saudi yang juga Timbalan Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman Al Saud. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...