loading...

Heret Duterte Ke ICC

Manila: Seorang lelaki yang mengaku anggota skuad pembunuh ketika Presiden Rodrigo Duterte menjadi datuk bandar bakal memfailkan kes di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi mendakwa pemimpin itu atas jenayah terhadap kemanusiaan, kata peguamnya semalam.

Lebih 8,000 suspek dadah mati sejak Duterte berkuasa pada Jun lalu dan melancarkan kempen memerangi dadah. Satu pertiga daripada jumlah itu ditembak polis kerana melawan ketika cuba ditahan pihak berkuasa.

Duterte dan polis menafikan mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan lain walaupun kumpulan hak asasi manusia mendakwa ia mempunyai ciri-ciri sama seperti ratusan kematian misteri penjenayah di Davao City sepanjang 22 tahun pemimpin itu menjadi datuk bandar.
Dua lelaki memberi keterangan di Senat dengan mendakwa mereka adalah anggota skuad pembunuh di Davao yang membunuh penjenayah atas arahan Duterte.

Bagaimanapun, anggota Kongres mendapati keterangan itu tiada bukti dan pembantu presiden pula mendakwa ia satu penipuan.

Kes di ICC bakal difailkan Edgar Matobato, yang keluar dari persembunyian pada minggu lalu dan mengaku membunuh lebih 50 orang di Davao.

Peguamnya, Jude Sabio berkata, Matobato bakal memfailkan kes di mahkamah di The Hague, Belanda itu pada bulan ini atau awal April.

“Pembunuhan satu jenayah serius. Jika dilakukan secara menyeluruh dan sistematik terhadap populasi awam ia dianggap satu jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Seorang anggota polis bersara, Arturo Lascanas juga memberi keterangan dia membunuh bersama Matobato dan dia percaya lebih ramai saksi akan tampil bagi mengelak daripada dibunuh.

Sementara itu, peguam Duterte, Salvador Panelo memberitahu presiden tidak terancam dengan mana-mana kes di mahkamah antarabangsa.

“Pembunuhan ini dilakukan oleh anggota sindiket dadah itu sendiri.

“Presiden atau pun polis tidak terbabit dengan kejadian ini,” jelasnya.-Hmetro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...