loading...

Ben Tak Lagi Bermimpi

Selepas sebulan menjalani rawatan di Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), penyanyi era 1980-an Ben Nathan kian menunjukkan perubahan berbanding ketika dimasukkan ke hospital itu pada 3 Februari lalu.

Paling ketara ialah imej Ben atau nama Islamnya Ban Adam, 54, yang kini lebih kemas dengan potongan rambut pendek, pakaian yang bersih selain berbau wangi.
Ia jauh berbeza sebelum ini apabila keadaan Ben tidak terurus dan selekeh selepas memilih untuk hidup sebagai gelandangan sejak 24 tahun lalu.

Walaupun Ben berkeras untuk tidak memotong rambut, dia akur apabila dipujuk adik-beradiknya.

Apatah lagi Ben bakal membuat kemunculan semula dalam industri muzik tempatan.

Sepanjang pertemuan Harian Metro dengan Ben selepas menjayakan program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM kelmarin, Ben kelihatan cukup gembira.

Ditambah pula itu adalah penampilan sulungnya di kaca TV selepas hampir 25 tahun menyepi.

Ben yang pernah mencipta nama menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati mengakui selesa dan teruja dengan imej terbarunya.

“Saya selesa dan kelihatan lebih segar berbanding sebelumnya. Saya tak ada masalah dengan imej baru ini kerana pernah tampil begini dahulu. Lagipun tak lama lagi saya nak aktif menyanyi semula, jadi saya perlu lebih kemas.

“Apa saya boleh katakan, sekarang saya kelihatan normal semula. Saya tidak lagi bermimpi seperti dulu. Imej baru ini bakal mengembalikan kepercayaan peminat kepada saya. Terima kasih kerana terus menyokong saya,” katanya.

Ibu paling gembira dengan perubahan Ben

Adik Ben iaitu Bob Nathan mengakui susah untuk memujuk abangnya memotong rambut.

“Pada mula dia memang tidak mahu potong rambut. Namun, apabila diberitahu kami mahu membawanya muncul di kaca TV, dia bersetuju. Dia okey saja dan tak ada masalah,” katanya.

Menurut Bob, ibu mereka adalah individu yang paling gembira apabila mendapat tahu perubahan Ben.

Walaupun ibu mereka belum berkesempatan bertemu Ben kerana tidak sihat, tetapi dengan khabar dan sekeping gambar yang ditunjukkan cukup membuatkan hati ibunya terubat.

“Keluarga gembira dengan keadaan Ben sekarang. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk mengubah kehidupan Ben terutama Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia, Datuk DJ Dave. Begitu juga sokongan rakyat Malaysia yang tak berhenti berdoa untuk kesejahteraannya.

“Saya mewakili keluarga memang terhutang budi dengan seluruh rakyat Malaysia. Ibu kami orang yang paling gembira apabila mendapat tahu keadaan Ben sekarang. Selama ini dia tak pernah berhenti berharap untuk melihat Ben kembali seperti dahulu,” katanya.

Tak pernah lupa lagu lamanya

Kemunculan Ben pada program bual bicara itu menjadi titik mula kepada kemunculan semula penyanyi itu.

Ia sekali gus memberi khabar gembira kepada peminat Ben yang merindukan persembahannya.

Ben melahirkan rasa teruja untuk kembali aktif menyanyi dan tidak sabar muncul di pentas nyanyian.

Ben bakal muncul di Konsert Kasih & Harapan Ben Nathan anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) dengan kerjasama ahli perniagaan terkenal Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir atau Jojo pada 21 Mei ini di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Saya ada kira-kira dua bulan lagi untuk membuat persiapan dan saya juga tak sabar nak menyanyi semula lagu lama.

“Selain itu, saya juga bakal ke Jakarta bagi menjalani proses rakaman lagu. Kalau boleh nak cepat, tapi Dave kata tunggu selepas Aidilfitri. Pada masa sama, adik saya iaitu Bob juga dalam proses menyiapkan lagu baru untuk saya. Dia juga bakal menguruskan kerjaya saya selepas ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupannya sepanjang menjalani rawatan di HKL, Ben mengakui dia turut menghiburkan pesakit dan kaki tangan di situ.

Minat dan cinta terhadap muzik masih tebal dalam dirinya, malah Ben masih ingat melodi dan lirik lagu nyanyiannya.

Cuma, sepanjang hidup sebagai gelandangan Ben tidak pernah menyanyi secara terbuka.

“Saya tak pernah berhenti menyanyi. Semua lagu saya masih ingat. Segala kenangan dan pengalaman menyanyi dulu juga masih segar dalam ingatan.

“Selama ini orang melihat saya di mana-mana saja, tapi tak pernah menyanyi secara terbuka. Saya hanya berlatih menyanyi di rumah atau studio saja,” katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...