WASHINGTON – Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun bertemu kelmarin untuk membincangkan kaedah pelaksanaan sekatan antarabangsa yang lebih berkesan ke atas program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara.
Rundingan di Washington itu diadakan tidak lama selepas pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Pyongyang telah melanggar sekatan sedia ada dan ketika diplomat kanan China mengadakan rundingan di White House.
Utusan khas AS bagi dasar Korea Utara, Joseph Yun menemui diplomat kanan Jepun, Kenji Kanasugi dan wakil khas Korea Selatan, Kim Hong-kyun di Jabatan Negara AS.
Mereka dalam satu kenyataan bersama menyelar sikap tidak ambil peduli Korea Utara terhadap resolusi berbilang Majlis Keselamatan PBB yang melarang program peluru berpandu balistik dan nuklearnya.
Kedegilan Pyongyang kata mereka, memerlukan masyarakat antarabangsa memberi tekanan lebih kuat terhadap rejim Kim Jong-un. Justeru, mereka menggesa negara-negara lain supaya melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab di bawah resolusi PBB.
Kenyataan itu merupakan rayuan tersirat kepada China iaitu rakan dagangan utama Korea Utara selepas PBB memberi amaran pada minggu lalu bahawa Pyongyang semakin licik dalam melanggar sekatan badan dunia itu.
Pertemuan tiga sekutu itu juga berlangsung ketika pegawai China, Yang Jiechi berjumpa penasihat-penasihat kanan dasar luar Presiden AS, Donald Trump di White House.
Jiechi yang mempunyai pangkat lebih tinggi daripada Menteri Luar China turut menemui Trump dalam satu pertemuan singkat.
Beliau merupakan pegawai tertinggi China yang menemui Trump sejak beliau menduduki White House pada 20 Januari lalu. – AFP/Kosmo
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW