loading...

Arwah Banyak Berdiam Diri – Isteri Jins Shamsuddin

HULU KLANG: “Beliau banyak mendiamkan diri hari ini. Selalunya dari jam 2.30 petang, beliau tidak henti-henti bercakap sehingga tidur (malam).

 

Ini petanda beliau akan pergi meninggalkan kami,” kata isteri seniman legenda, Tan Sri Jins Shamsuddin, Puan Sri Halijah Abdullah.

 

Jins meninggal dunia pada usia 81 tahun ketika dalam perjalanan ke klinik berdekatan rumahnya selepas tercekik cekodok pisang ketika minum petang bersama Halijah pada jam 5.45 petang di kediaman mereka di Kampung Pasir, di sini. Halijah yang ditemui di rumahnya malam ini, berkata beliau berasa agak pelik apabila suaminya kurang bercakap, seharian.

 

Pada kebiasaannya Jins akan mengulangi perkara yang sering disebut setiap hari iaitu menunggunya, anaknya, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim, untuk pulang ke kampung di Taiping, Perak, selain mahu berjumpa ibu bapa walaupun kedua-duanya sudah lama meninggal dunia.

 

“Beliau juga memang sudah tidak mengingati saya, Jebat dan Nadim sejak dua tahun lalu. Hari ini, saya rasa lega beliau tidak lagi bercakap benda yang sama.

 

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka ia membawa petanda beliau akan pergi selama-lamanya,” katanya.

 

Halijah mengakui rasa terkilan dan bersalah kerana memberi Jins cekodok pisang.

 

“Arwah sangat suka cekodok pisang sejak dulu. Entah kenapa hari ini saya tergerak hati untuk membeli dan ketika suapan keempat, arwah terdiam. Saya dapat agak, arwah mungkin tercekik,” katanya.

 

Halijah kemudian menepuk belakang Jins tetapi beliau tidak mahu membuka mulut. Berikutan itu, beliau memanggil jiran untuk membantu untuk mengeluarkan sisa makanan daripada mulut Jins.

 

“Tetapi beliau muntah dan terus lembik. Saya pangku beliau, tetapi tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.

 

Halijah dengan bantuan jirannya kemudian membawa Jins ke klinik berdekatan rumahnya.

 

“Beliau tidak sedarkan diri walaupun saya panggil berkali-kali dan tidak lagi membuka mata… tangannya sejuk. Saya percaya ketika itu Jins sudah tiada.

 

“Apabila tiba di klinik, empat kali pemeriksaan dilakukan, akhirnya Jins disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

 

Jenazah Jins akan dibawa ke Masjid Al-Ridhuan di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam masjid itu pada jam 11 pagi esok.

 

Sementara itu, rumah Allahyarham dikunjungi rakan artis termasuk Datuk Yusof Haslam, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Nash, Fauziah Ahmad Daud, Aida Khalida dan Lydiawati.-Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...