loading...

Ayat Quran Disorok Dalam Alas Kaki, Pengeluar & Penjual Berdepan Tindakan

KUALA TERENGGANU ― Jabatan agama Terengganu mengesan sebuah kedai di Dungun yang menjual alas kaki mengandungi keratan ayat-ayat suci al-Quran.

 

Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan operasi termasuk merampas barangan itu, lapor Berita Harian.

 

Siasatan dibuat untuk mencari pihak yang meletakkan helaian ayat al-Quran pada alas kaki yang dijual dengan harga RM2 susulan aduan pengguna semalam, kata pesuruhjaya JHEAT.

 

Pengeluar dan penjual alas kaki tersebut boleh dikenakan hukuman menurut Seksyen 9, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu, kata Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim.

 

“Jika sabit kesalahan pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya kepada akhbar itu.

 

Khamis lalu, seorang pengguna Facebook mendedahkan alas kaki yang dibelinya mengandungi ayat suci al-Quran selepas ia dikoyak dengan gunting.

 

“Petang tadi [Khamis] ada sampai [mesej] WhatsApp pasal alas kaki ada ayat al-Quran.

 

“Apabila balik di rumah, [saya] periksa, rupa-rupanya [alas kaki saya] ada juga,” kata Kamariah Ali, seorang guru di Kuala Berang.

 

Selasa lalu, pengguna internet digemparkan dengan penemuan ayat-ayat al-Quran di dalam alas kaki yang terkoyak, lapor portal The Reporter.

 

Kertas yang mengandung ayat-ayat suci itu ditemui oleh lelaki di Indonesia ketika isterinya sedang mencuci alas kaki berkenaan 27 November lepas.

 

Menurut portal itu lagi, yang memetik Republika, dua alas kaki itu dibeli dari sebuah kedai di pasar Prambanan, Yogyakarta.

 

Februari lalu, lapor Sinar Harian, tindakan diambil terhadap pemilik sebuah kedai serbaneka dan pemborong yang menjual ratusan alas kaki mengandungi ayat al-Quran.

 

Dua premis perniagaan itu beroperasi di Taman Teratai dan Johor Jaya, di Johor Baru, berdasarkan aduan ramai, kata exco agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim. – MalayMail



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...