loading...

60,669 Unit Mesin Judi Dirampas Di Selangor

SUBANG JAYA – Sindiket judi di negeri ini mula ‘goyang’ apabila sebanyak 60,669 unit mesin judi berkomputer dianggarkan bernilai RM48.5 juta dirampas polis sejak Januari lalu.

 

Tindakan hasil 4,828 serbuan polis di premis perjudian di negeri ini menyebabkan sindiket judi mengalami kerugian besar membabitkan kos peralatan komputer dan cip khas yang digunakan.

 

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, hasil serbuan itu polis turut menahan seramai 4,438 individu termasuk 1,437 ‘kaki judi’ yang dikenakan tindakan undang-undang.

 

Katanya, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM424,118 di premis diserbu hasil kegiatan perjudian itu.

 

“Pada hari ini (semalam) sebanyak 2,230 unit komputer dirampas di sekitar daerah Subang Jaya bermula tahun 2014 hingga Mac 2016. Semua komputer judi itu dilupuskan selepas selesai perbicaraan.

 

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perjudian. Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perjudian,” katanya pada Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian Komputer di Depoh Tunda Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, semalam.

 

Majlis turut dihadiri Majistret Mahkamah Petaling Jaya, Tuan Zaki Asyraf Zubir, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan pihak MPSJ.

 

Abdul Samah turut menyarankan supaya satu undang-undang khusus yang lebih tegas perlu digubal oleh kerajaan bagi memastikan kegiatan judi dalam talian dapat dibasmi secara keseluruhan.

 

“Buat penambahan dari segi hukuman dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pihak pemilik pusat perjudian termasuk individu yang menyewakan premis,” katanya. – HMetro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...