TAWAU – Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang warga tempatan dipenjara antara 24 hingga 30 bulan dan didenda RM10,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Amir Shah Amir Hassan ketika menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berjalan mulai tarikh semua tertuduh ditangkap.
Tertuduh Asna Satuan, 22; Asman Satuan, 22; Takin Satuang, 26; dan Juina Gasang, 50, masing-masing dikenakan hukuman penjara selama 24 bulan manakala Ateng Jalil, 30, dan Brahim Awang Anak, 51, dikenakan penjara selama 30 bulan.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Disember lalu di bilik hotel dan di rumah di Kampung Sri Menanti Jalan Tanjung Batu Darat antara 10.30 malam hingga 11.50 malam.
Semua tertuduh dijatuhkan hukuman di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Prosiding itu dikendalikan oleh Pendakwaraya JPN Mohd Fazdhly Abdul Razak yang meminta hakim mengenakan hukuman berat kepada semua tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. – Hmetro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW