loading...

Tren LRT KLAV Mula Operasi Hari Ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 unit tren generasi baharu Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV) bagi sistem transit aliran ringan (LRT) aliran Kelana Jaya, mula beroperasi hari ini.

 

KLAV model Bombardier INNOVIA Metro 300 dengan empat gerabak itu dijangka bakal meningkatkan kapasiti penumpang sebanyak 30 peratus berbanding tren sedia ada.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman, berkata KLAV juga akan menggantikan semua tren dua gerabak sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 49 tren.

 

“Set tren baharu ini akan mula digunakan secara berperingkat mengikut jadual penghantaran daripada pembekal yang dijangka diterima sepenuhnya pada pertengahan tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Terdahulu, tren KLAV bernombor 272 mula beroperasi dari stesen LRT Ara Damansara kira-kira jam 10.50 pagi dengan memberi peluang petugas media merasai pengalaman menaikinya terlebih dulu, sebelum mula mengambil penumpang di stesen LRT KL Sentral.

 

Sebelum ini, penumpang LRT aliran Kelana Jaya dari Kuala Lumpur ke Putra Heights perlu turun di stesen Ara Damansara dan menunggu tren lain untuk meneruskan perjalanan susulan penangguhan penggunaan tren KLAV. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...