Anggota exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah menyifatkan cerita yang dikarang oleh Hishamuddin Rais mengenai pengalaman aktivis itu yang ditahan di lokap bersamanya hanyalah sekadar ‘tokok tambah bagi menyedapkan penulisan’.
Katanya, Hishamuddin atau mesra dengan panggilan Isham, sengaja menulis artikel sedemikian di blognya demi menutup isu yang sedang berlaku dalam Pakatan Harapan.
“Tokok tambah untuk sedapkan penulisan. Biasalah nak tutup isu yang dalam Pakatan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bulan lalu, Armand dan Hishamuddin antara individu yang ditahan bersama dalam perhimpunan BERSIH dan Baju Merah di Ibu Kota.
Walaupun berlainan ideologi politik, namun ketika ditahan, terdapat gambar Armand, Hishamuddin dan wakil rakyat pembangkang Howard Lee kelihatan mesra di media sosial.
Selepas sebulan, semalam Hishamuddin dalam artikelnya yang bertajuk “Apa terjadi dalam lokap” menceritakan pengalamannya yang sering bertukar lokap di negara ini.
Selain itu, Hishamuddin turut mendakwa ‘beliau berjaya mengorek rahsia’ dari pemimpin kanan Kumpulan Baju Merah itu ketika sama-sama ditahan di lokap Dang Wangi.
Dakwa Hishamuddin, beliau sempat bertanya kepada Armand, sekiranya Ketua Baju Merah Datuk Jamal Md Yunos ditahan apakah yang akan terjadi.
Dakwa Hishamuddin, Armand berkata sekiranya Jamal turut ditahan, ketuanya itu akan bergaduh, kerana tidak diplomasi.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu Armand menafikan dakwaan itu sebaliknya mengatakan kepada Hishamuddin bahawa Jamal dan dirinya mempunyai cara yang tersendiri.
“Tak betul. Saya nyatakan Datuk Seri Jamal mempunyai cara beliau yang tersendiri dan saya mempunyai cara yang tersendiri (kerana) masing-masing mempunyai cara masing-masing.
“Jamal mengambil pendekatan yang garang manakala saya mengambil pendekatan diplomasi kerana dua-dua amat perlu untuk capai hala tuju yang sama,” katanya.
Armand turut menafikan dakwaan kononnya beliau telah memberitahu Hishamuddin bahawa telah dilatih oleh Parti komunis dari China mengenai cara berpidato.
“Kami bukan dilatih, tapi pernah (ke) China atas jemputan kerajaan China untuk pertukaran idea antara kepimpinan muda,” katanya.
Dalam artikal berkenaan Hishamuddin turut mendakwa bahawa Armand berkata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun cuba meniru gaya ketua mereka Khairy Jamaluddin.
“Saya nyatakan Azwan Bro mengambil pendekatan cara KJ. Saya kata Azwan Bro harus jadi diri beliau sendiri (kerana) hanya akan ada satu KJ sahaja,” katanya.
Armand bagaimanapun mempersoalkan mengapa di dalam artikel tersebut tidak menyatakan perhimpunan BERSIH gagal dan mendakwa Hishamuddin mengeluh bahawa beliau terlalu tua untuk menyertai perhimpunan itu.
“Kenapa dia tak cerita saya bantah isu salah guna kuasa oleh Pakatan di Selangor terutama tentang isu (Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk) Adam Rosly yang kaya hanya jadi pegawai khas,” katanya lagi.
Armand juga mendakwa Hishammuddin setuju ada rasuah dalam Pakatan dan salah guna kuasa dalam PKR.
“Kenapa beliau tidak cerita BERSIH juga dapat dana asing untuk penganjuran BERSIH,” soal Armand.-Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW