KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Tan Sri SM Salim berharap stesen radio serta badan penyiaran tempatan agar tidak menyiarkan lagu-lagu dendangan Allahyarham dalam tempoh terdekat.
Anak Allahyarham, Sheikh Shamsul Sheikh Salim berkata ini bagi memenuhi amanat ditinggalkan seniman itu semasa hayatnya supaya lagu-lagu nyanyiannya tidak disiarkan sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas beliau meninggal dunia.
“Oleh itu kami berharap media tidak memainkan lagu Allahyarham sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari namun terpulang kepada budi bicara untuk menyusun apa yang terbaik,” katanya kepada pemberita di kediaman allahyarham bapanya di sini hari ini.
Shamsul berkata perkara itu pernah dibincangkan bersama bapanya yang berpesan supaya lagu-lagu beliau tidak dimainkan selepas pemergiannya.
Namun Shamsul berkata ia adalah perkara subjektif kerana kebanyakkan hasil seni Allahyarham berada dalam simpanan media.
Allahyarham SM Salim, 88 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada 5.45 petang hari ini kerana sakit tua.-Awani
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW