KUALA LUMPUR – Belumpun reda dengan konflik dalaman Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), kini timbul pula isu tunggakan pembayaran gaji dan bonus pemain.
Perkara itu didedahkan oleh salah seorang pemain dalam pasukan Red Giants yang enggan namanya dikenali apabila mendakwa, sehingga kini bayaran gaji bulan November dan bonus dua kali seperti yang dijanjikan bekas pengurus, Amirudin Shari masih belum dilunaskan.
Jelasnya, kebanyakkan pemain memerlukan sumber kewangan bagi menampung kelengkapan sekolah anak-anak memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tahun depan, selain perbelanjaan harian.
“Saya mohon Kerajaan Negeri dapat selesaikan tunggakan gaji kami (pemain) bulan November selain bonus aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia seperti dijanjikan.
“Kami ada cuba menghubungi bekas pengurus dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Presiden FAS), mereka senyap dan langsung tidak memberi apa-apa reaksi. Lagipun dah nak masuk tahun baharu tapi gaji bulan lepas masih tidak dapat.
“Tolonglah selesaikan gaji mengikut kontrak sebelum ini dan penuhi janji untuk memberi bonus kepada pemain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Masalah kelewatan gaji yang menyelubungi kem Red Giants sebenarnya sudah berlarutan sejak Ogos lalu di mana tarikh yang sepatutnya bayaran diterima setiap 27 haribulan tertangguh hingga ke 7 haribulan.
Keadaan itu nyata menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain dan kejurulatihan yang hairan bagaimana sistem pembayaran gaji yang dibuat Kerajaan Negeri secara tiba-tiba lewat daripada kebiasaan.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain Red Giants yang juga enggan dikenali meminta agar pertelingkahan membabitkan pihak atasan badan induk bola sepak Selangor iaitu antara Presiden dan exco FAS tidak seharusnya menjadikan pasukan sebagai mangsa hingga mengabaikan soal kebajikan pemain.
“Nasib baik gaji bulan Disember yang diuruskan pihak pengurusan sekarang dah masuk. Tapi gaji bulan lepas tak masuk-masuk lagi, walhal ia diuruskan Kerajaan Negeri.
“Tolonglah jangan jadikan kami mangsa kerana kerja kami hanya bermain bola sepak. Kami tak mahu campur isu dalaman persatuan sebaliknya tolong jelaskan tunggakan sebelum ini,” tegasnya. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW