KUALA LUMPUR – Kemunculan Huawei Mate 9 rekaan Porsche ke pasaran Malaysia mencetuskan satu lagi kegilaan produk premium peranti mudah alih keluaran konglomerat elektronik terkemuka China, Huawei.
Selepas pelancarannya di Munich awal bulan lalu, kehadirannya ditunggu-tunggu ramai pengguna yang mengharapkan telefon android premium itu menjadi pengganti Note 7 bagi menyaingi produk keluaran Apple.
Tempahan mula dibuka secara dalam talian menerusi 11street dan Vmall.my sebelum menjadi produk ikon di semua rangkaian pengedar rasmi Huawei, menyaksikan peranti mudah alih itu ditawarkan pada harga RM6,999.
Spesifikasi yang disenaraikan di laman web menunjukkan Huawei Mate 9 Porsche memiliki kekuatan dari segi prestasi dan kesempurnaan kekemasan rekaan sesuai dengan harganya.
Secara ringkasnya, peranti itu ditawarkan dengan cip prosesor Hisilicon Kirin 960 lapan teras (4×2.4 GHz Cortex-A73; 4×1.8 GHz Cortex-A53) menggunakan sistem operasi Android 7.0 Nougat disokong EMUI 5.0, ROM 256GB, dan RAM 6GB.
Keunikan skrin sesentuh 5.5 inci melengkung AMOLED, gabungan warna 16M beresolusi 1440 x 2560 piksel. Huawei Mate 9 rekaan Porsche Porsche didatangkan dalam warna ekslusif hitam grafit dan hanya terhad kepada pembelian lima unit menerusi 11street dan Vmall.my.
Peranti telefon pintar terbaharu Huawei itu juga boleh dibeli menerusi semua rangkaian pengedar rasmi Huawei bermula pada 22 Disember lalu.
“Kami faham bahawa ada keperluan dalam kalangan pengguna mewah Malaysia terhadap telefon pintar yang melengkapi gaya hidup mereka dalam setiap cara.
“Huawei Mate 9 rekaan Porsche Porsche sesungguhnya adalah telefon pintar yang menjadi kebanggaan sesiapa sahaja untuk memilikinya.
“Ia adalah peranti yang menampilkan penanda aras baharu dari segi reka bentuk dan prestasi yang dibawa masuk oleh Huawei ke Malaysia,” kata Timbalan Pengarah Negara, Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei (Malaysia), Matthew Ng. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW