KENYATAAN 1: Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, semua agensi yang terlibat dengan keselamatan jalan raya – JPJ, PDRM, Miros, JKJR, MKJR, Puspakom, bomba dan lain-lain – perlu duduk semeja untuk berbincang secara terperinci.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu juga mahu pemandu bas diberi gaji asas yang lebih tinggi bagi mengelakkan mereka mengejar komisen sehingga terdedah kepada risiko kemalangan akibat keletihan dan pemanduan laju.
Kenyataan 2: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengeluarkan laporan awal mengenai kemalangan bas ekspres, dalam tempoh dua minggu.
Ketua Pengarah, Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kajian terperinci dan menyeluruh sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas ngeri itu.
Kenyataan 3: Polis akan menyiasat rakaman pemandu sebuah bas ekspres yang dipercayai menggunakan telefon bimbit serta merokok ketika memandu di Plaza Tol Tangkak dari Kuala Lumpur.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Asisten Superintendan Suhaimi Ahmad berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu termasuk meneliti rakaman video yang dimuat naik individu yang merakam kejadian tersebut.
Tiga kenyataan di atas – ada banyak lagi sebenarnya! – disiarkan hampir serentak sehari dua ini. Orang ramai sudah kerap kali mendengar kenyataan seperti ini.
Seperti biasa setiap kali ada malapetaka di jalan raya, kenyataan klise ini akan disiarkan media. Penuturnya mungkin berbeza, tetapi isinya sama. Tidak payah baca akhbar pun orang sudah tahu apa yang akan dikatakan, oleh siapa.
Kenyataan-kenyataan terbaru ini, sesetengahnya kedengaran amat berkobar-kobar, adalah berikutan tragedi terkini di Pagoh, Johor, sehari sebelum Krismas.
Seperti yang dilaporkan semua media, nahas berlaku pukul 3.30 pagi di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran kawasan R&R Pagoh, melibatkan sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Bas yang dikatakan dipandu laju gagal dikawal, ‘terbang’ lalu terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter, mengakibatkan ramai penumpang tercampak keluar. 14, termasuk pemandu bas, terbunuh.
Maka sehari dua ini, macam-macam agensi dan pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan mengenai kemalangan berkenaan. Dalam waktu yang sama, mereka yang tidak ada kaitan pun akan turut memberi pelbagai andaian. Semua hebat berteori.
Hatta kalau ditanyakan bomoh dan dukun ilmu hitam pun pasti mereka akan bersemangat mengeluarkan pelbagai petua. Paling tidak pun mereka akan kata kawasan tempat kejadian sebagai ‘panas’.
Pendek kata banyak lagi kisah boleh dimainkan media daripada kenyataan, andaian, pandangan, teori, jampi dan lain-lain mengenai kemalangan bas ekspres menjelang perayaan Natal itu.
Percaya atau tidak, setelah digembar-gemburkan sehari dua, masuk minggu ketiga, semuanya sejuk semula. Lepas sebulan, semua senyap-sepi tanpa berita, macam tidak ada apa-apa terjadi.
Almaklumlah, macam bola sepak, ‘gempak’ dan riuh-rendah kita mengenai kemalangan jalan raya, seperti bermusim. Habis musim, semua lenggang. Teori, andaian dan jampi serapah semua hilang. Undang-undang dan peraturan keselamatan jalan raya pun dibuang dalam loji najis.
Kita sudah banyak membuat cadangan dan peraturan. Masih ingat tragedi bas masuk gaung sedalam 60 meter di KM 3.5 Jalan Genting Highlands, pada 21 Ogos 2013 yang mengorbankan 37 orang?
Macam biasa Miros buat kajian. SPAD, polis, JPJ semua buat kenyataan dan cadangan. Sebanyak 51 cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan berikutan tragedi di Genting Highland. Cadangan tinggal cadangan!
Agaknya cadangan-cadangan bernas itu pun dibuang dalam loji najis. Tiga tahun telah berlalu, jalan raya kita terus menjadi laluan maut. Seperti yang diakui 7,000 maut setiap tahun di jalan raya kita. Samseng jalanan, isu memandu tanpa lesen, pemandu hidap dadah, lesen kopi-O, rasuah agensi-agensi terlibat, semua tidak terbendung.
Maka jangan harap sangat kepada agensi atau pihak berkuasa. Mereka selalu kata tidak cukup kakitangan untuk menguatkuasakan undang-undang. Jangankan hendak menangkap pemandu yang terang-terang memecut di lorong kecemasan, perkara kecil pun – antaranya isu keseragaman nombor plat, dan isu cermin gelap – sudah bertahun gagal diselesaikan. Memalukan, lagi meloyakan!
Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita semua. Kitalah yang wajib mematuhi setiap undang-undang, walaupun tanpa kehadiran polis, JPJ, Puspakom, Miros, SPAD dan entah apa-apa lagi.
Pandu cermat jiwa selamat. Ini pun ayat klise. Ikutlah kalau boleh; kalau tidak mahu ikut, lantaklah! Saya hanya berpesan kepada diri sendiri. Selamat Tahun Baharu 2017.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW