loading...

KAFA Calon Annuar Sebagai Presiden FAM

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mencalonkan bekas presidennya, Tan Sri Annuar Musa sebagai calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada Kongres persatuan itu, Mac depan.

 

Keputusan tersebut diumumkan Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah selepas badan induk bola sepak negeri itu mengadakan kongres luar biasa (EGM) di ibu pejabat Sinar Harian Kelantan, hari ini.

 

Menurutnya, kongres sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Annuar dan berpandangan pemimpin itu mampu menggalas tanggungjawab besar di peringkat kebangsaan berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pengurusan bola sepak.

 

“Sebelum ini pun, Tan Sri (Annuar) sudah beritahu tentang hasrat (bertanding). Hak pencalonan adalah hak badan gabungan. Jadi pencalonan itu perlu datang dari mana-mana badan gabungan.

 

“Maka kami (Kafa) sebagai ahli gabungan, hari ini bersetuju dengan perkara tersebut dan sekali gus mengesahkan pencalonan sepertimana prosedur yang ditetapkan FAM,” katanya pada sidang media selepas EGM persatuan itu.

 

Rabu lalu, Ketua Penerangan Umno itu secara terbuka menawarkan diri menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden FAM.

 

Namun, Annuar yang juga bekas Timbalan Presiden FAM sebelum ini, berkata jika ada individu lebih layak seperti Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau tidak mahu berebut jawatan tersebut.

 

Beliau juga perlu mendapatkan sokongan daripada anggota gabungan dan perwakilan FAM pada kongres badan induk bola sepak kebangsaan, jika mahu meneruskan niatnya itu.

 

FAM sebelum ini, mengesahkan Kongres FAM itu adalah bagi mengadakan sesi pemilihan presiden baharu badan induk tersebut, dan nama calon yang ingin bertanding perlu dihantar selewat-lewatnya 23 Januari depan, sebelum senarai akhir dikeluarkan pada 20 Februari.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...