KUALA LUMPUR – Pelakon Zulin Aziz menafikan video tular pergaduhan membabitkan peminatnya bukanlah bertujuan untuk mempromosikan filem terbaharunya Bo-Peng.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Zulin berkata, dia sendiri tidak tahu mengenai video tersebut yang menjadi tular di laman sosial.
“Buat apa saya nak buat promosi filem yang akhirnya memalukan diri saya sendiri. Saya tidak akan buat sampai ke tahap itu.
“Perkara itu melibatkan fizikal saya dan perkara itu sangat sensitif untuk disentuh oleh sesiapa dan kepada mana-mana orang sekalipun,” katanya.
Video tular berdurasi hampir seminit yang dirakam di sebuah panggung wayang memperlihatkan peminat Zulin bergaduh dengan penonton lain yang memburukkan pelakon itu.
Sesetengah netizen menganggap video tular itu adalah sebahagian daripada cara untuk mempromosikan filem Bo-Peng yang sedang ditayangkan di pawagam.
Mengulas mengenai video tersebut, jelas Zulin, dia merasakan perkara ini tidak perlu berlaku bukan sahaja kepada peminat, bahkan kepada sesiapa pun jua.
“Kepada yang benci saya hingga rasa diri saya ini buruk atau gemuk, tidak perlu tengok diri saya. Jangan menghina sehingga mengeluarkan ayat yang boleh mengundang kemarahan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia langsung tidak peduli dengan apa yang ingin dilakukan oleh ‘haters’ sebaliknya sentiasa berfikiran positif.
“Sebenarnya, ayat-ayat yang kata saya gemuk itu yang terus menguatkan azam dan tekad saya untuk menguruskan badan,” katanya. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW