loading...

PM Sedia Bantu Masalah Kewangan PFA, Kata Shahidan

KANGAR – Kemelut kewangan melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sehingga pasukan negeri itu terpaksa menarik diri dalam saingan Liga Perdana musim depan dijangka berakhir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berjanji membantu menyelesaikan masalah itu.

 

Bekas Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata melalui pertemuan beliau bersama Najib, baru-baru ini, Perdana Menteri berjanji akan membantu pasukan Singa Utara itu dari sudut kewangan.

 

“Berapa jumlah (bantuan) daripada Perdana Menteri itu masih belum diputuskan kerana saya perlu berbincang dengan Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

 

“Walaupun bantuan itu tidak sepenuhnya, kita harap ia dapat meringankan beban persatuan dan pada masa sama, saya akan terus membantu PFA,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Dewan Badminton Kangar, di sini, malam tadi. Shahidan berkata, walaupun jumlah perbelanjaan PFA bagi saingan liga hanya kira-kira RM8 juta semusim, jumlah itu sangat besar buat Perlis.

 

“Jumlah itu mungkin biasa buat pasukan lain, tetapi tidak untuk Perlis. Saya memahami beban yang ditanggung Rozabil selaku Presiden PFA.

 

“Ia sesuatu yang memilukan bagi beliau yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga jutaan ringgit, tetapi tidak mendapat sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.

 

Difahamkan persetujuan membantu Perlis itu disuarakan selepas Shahidan mewakili PFA mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Rabu lalu. – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...