KUALA LUMPUR – Wakil UMNO Johor, Datuk Ayub Rahmat dalam perbahasan usul Presiden gesa henti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada UMNO.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti mengenangkan apa yang telah UMNO berikan kepada orang Melayu.
Bagaimanapun katanya, jangan sesekali lupa, UMNO tidak akan berada pada kedudukan kuasa sebegini lama jika tidak kerana orang Melayu.
“UMNO itu wujud kerana orang Melayu. UMNO berjaya memimpin Malaysia kerana orang Melayu. Telah tiba masanya UMNO yang berterima kasih dengan sokongan orang Melayu selama ini. UMNO tidak boleh berjaya tanpa orang Melayu. Tidak, dan tidak sama sekali.
“Kerana itu UMNO Johor percaya, sudah sampai masanya, UMNO tampil memperbaharui tawaran dan pemberiannya kepada orang Melayu. Menawarkan naratif baharu. Menawarkan agenda baharu. Menawarkan keterujaaan dan harapan baharu kepada orang Melayu,”katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa. Dampak gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.
Tambahnya, cabaran besar orang Melayu bukan lagi tentang hak dan ketuanan.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW