KUALA LUMPUR – PAS tidak mempunyai peluang menang pada Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar disebabkan tiada sokongan daripada pengundi Cina, demikian kata bekas Naib Presidennya Datuk Husam Musa.
Ujar Husam, PAS sebelum ini lantang melaungkan parti berkenaan tidak memerlukan sokongan pengundi Cina untuk menang di dua kerusi berkenaan walaupun pengundi Cina menguasai 35 peratus undi di dua kawasan tersebut.
“PAS tidak ada peluang menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan saya nasihatkan PAS beri satu kerusi kepada Pakatan Harapan samada PKR atau PAN kerana orang Cina tidak boleh sokong PAS.
“PAS kata orang Cina tidak diperlukan dan DAP adalah merbahaya ini ditulis oleh Dr. Zuhdi Marzuki yang menganggap undi orang Cina adalah tidak penting.
“Jadi orang Cina sudah terasa hati dengan PAS, jadi macam mana nak sokong PAS. Sebab itu (PAS) hilang 35 peratus undi daripada pengundi Cina, macam mana PAS boleh menang?, soal Husam.
Terdahulu, Antarapos melaporkan pengundi Cina bukan penyebab undi untuk parti Islam itu meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-13 di kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tiga tahun lalu.
Menurut timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS berjaya mengecilkan majoriti itu disebabkan faktor penolakan rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional (BN).
Ditanya samada PH akan terus berpecah dengan timbulnya surat daripada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelas Husam pembangkang akan lebih kuat sekiranya Tun Dr Mahathir terus berada di pihak pembangkang.
“Saya harap Tun Mahathir akan kekal bersama pembangkang dan dia boleh jadi jurulatih supaya pembangkang boleh jadi kerajaan.
“Selagi Tun Mahathir duduk dengan kita, pembangkang akan jadi lebih kuat lagi,” katanya.
Menurut Husam, surat yang ditulis Anwar itu mahu agenda reformasi tidak diabaikan ekoran terlalu memberi fokus kepada Deklarasi Rakyat.
“Dalam surat itu beritahu bahawa Datuk Seri Anwar pentingkan supaya agenda reformasi tidak terbengkalai dengan adanya Deklarasi Rakyat, itu kandungannya. Deklarasi Rakyat bagus tetapi jangan lupa agenda reformasi. Ini kena diambil berat oleh semua anggota reformasi yang ada dalam Deklarasi Rakyat.
“Perkara ini sebahagiannya telah kita masukkan dalam tuntutan Deklarasi Rakyat jadi tidak boleh pihak tertentu menggunakan surat itu kononnya Anwar tidak minat Datuk Seri Najib berhenti. Dan 1.27 juta tandatangan tadi adalah dihargai oleh Anwar, tidak mungkin dia lupakan tandantangan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Surat tujuh halaman itu rata-ratanya menasihatkan agar kepimpinan PKR berhati-hati dengan pendekatan bekas Perdana Menteri itu dilihat memanipulasi kepimpinan parti itu.
Dalam surat yang tersebar beberapa hari lalu, Anwar turut melahirkan rasa kesal dengan penglibatan PKR yang bersekongkol dengan bekas majikannya itu untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Malah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata surat yang ditulis dalam penjara itu disifatkan sebagai hal dalaman parti dan tidak sepatutnya dedahkan kepada umum. – AntaraPos