loading...

Kerajaan Tak Pernah Campur Tangan

KERAJAAN tidak pernah mencampuri proses perbicaraan dalam apa juga kes di mahkamah.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sambil menegaskan, beliau sendiri pun tidak pernah meminta mana-mana hakim agar mengikuti arahannya ketika menjatuhkan hukuman.

Beliau berkata, sesuatu penghakiman yang baik adalah bukti penting bagi menentukan seseorang hakim itu adil atau tidak.

“Kami tidak perlu bertanggungjawab ke atas perdana menteri, tetapi bertanggungjawab ke atas penghakiman sendiri. Orang lain boleh kritik apa sahaja. Saya tidak akan rasa susah hati.
“Selagi hakim menegakkan kebenaran mengikut undang-undang dan bukti yang ada, itu sudah mencukupi,” kata Arifin ketika ditemu bual oleh Sin Chew Daily.

Arifin, yang akan bersara wajib akhir bulan ini, meminta masyarakat umum menilai seseorang hakim melalui penghakiman yang ditulisnya dan jangan menuduh hakim tidak adil sekiranya sesuatu penghakiman memihak kepada kerajaan.

Menurut Arifin, kedudukan hakim dalam masyarakat amat sensitif, oleh itu mereka sepatutnya tidak terlalu rapat dengan orang-orang yang mempunyai kepentingan.

“Sebagai contoh, saya akan menarik diri daripada meneruskan perbicaraan sekiranya sesuatu kes melibatkan kawan ataupun orang yang saya kenali.

“Hakim boleh bersosial tetapi mesti berhati-hati. Sekiranya esok ada kes perbicaraan di mahkamah, hari ini tidak boleh berjumpa dengan orang-orang yang terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.

Yakin lebih baik daripada BN

Pakatan Harapan dan Bersatu yakin mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding BN sekiranya berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan pada PRU14.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sekiranya parti-parti pembangkang diberi mandat oleh rakyat, mereka berjanji akan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding di bawah pemerintahan BN sekarang.

“Pakatan Harapan dan Bersatu sekiranya berjaya membentuk kerajaan baru, kami berjanji tidak akan meminggir ataupun menekan Melayu,” kata Kit Siang seperti dilaporkan dalam Sin Chew Daily.

Sebaliknya, tegas Kit Siang, sekiranya DAP, PKR, Amanah dan Bersatu gagal menunjukkan pentadbiran yang baik seperti diharapkan, rakyat berhak menolak mereka pada PRU akan datang.

“Sekiranya BN berjaya dikalahkan, bermakna parti-parti pembangkang diberi peluang untuk membuktikan keupayaan bagi menandingi BN yang telah memerintah negara kita sejak 60 tahun lalu.

“Parti-parti pembangkang akan sedaya upaya meningkatkan mutu pendidikan, di samping memulihkan ekonomi negara dengan lebih baik,” katanya.

MCA jelaskan pendirian

MCA telah menyatakan pendirian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai bantahan parti itu terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, demi mengelakkan kekeliruan, surat bantahan dan cadangan yang dikemukakan kepada perdana menteri itu telah disemak dengan teliti oleh kumpulan peguam MCA.

“MCA menggunakan cara yang lebih profesional dalam kemukakan cadangan kepada perdana menteri. Sekiranya berbincang melalui percakapan, mungkin akan disalah tafsir dan menimbulkan salah faham.

“Perdana menteri sendiri menjelaskan beliau akan menimbangkan cadangan MCA dengan teliti,” kata Ka Chuan kepada China Press.

Ka Chuan berkata, MCA tetap berharap usul RUU 355 itu tidak akan diluluskan dalam sidang Parlimen.

“Sekiranya diluluskan juga, MCA akan menjelaskan pendirian kemudian nanti. Ketika ini, yang penting ialah perlu selesaikan masalah dulu,” katanya.

Mengenai kerjasama antara Umno dengan Pas, kata Ka Chuan, sekiranya Pas ingin menyertai BN, ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi BN dan perlu dipersetujui secara bersama.

“Parti komponen BN tidak akan terima sekiranya hanya Umno sahaja yang kata setuju. Kerjasama Umno dengan Pas tidak sepatutnya hanya mahu menang dalam PRU sehingga terpaksa abaikan konsep pelbagai kaum di negara kita,” kata Ka Chuan.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...