loading...

Skandal Seks ‘Gegar’ Parlimen Australia

CANBERRA – Parlimen Australia bergolak susulan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Barnaby Joyce menuduh Perdana Menteri, Malcolm Turnbull ‘tidak cekap’ kerana mengkritik hubungan sulitnya dengan pembantu peribadi.

Joyce, 50, pemimpin Parti Kebangsaan yang memerintah bersama Parti Liberal pimpinan Turnbull, minggu lalu mengaku mempunyai hubungan sulit dengan penasihat medianya yang dikatakan sedang mengandung anak mereka.

Turnbull semalam mengkritik Joyce kerana melakukan tindakan mengejut di luar pertimbangan dengan mengadakan hubungan sulit dan membuatkan isteri, empat anak dan kekasihnya, Vikki Campion menderita.

Ketua Parti Liberal itu mengakui tidak berdaya untuk menyingkirkan Joyce yang menjawat jawatan sebagai timbalannya dan pemimpin parti kecil yang diharapkan untuk mentadbir bersama.

Bagaimanapun, Turnbull bertindak mengisytiharkan larangan rasmi hubungan sulit antara anggota kabinet dengan kakitangan mereka sebagai tambahan kepada kod kelakuan menteri.

Susulan itu, Joyce menyerang balas pada sidang media di sini hari ini dengan menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan malah menuduh Turnbull mengganggu hal ehwal dalaman partinya.

Katanya, komen perdana menteri itu adalah satu tindakan ‘tidak cekap’, ‘tiada keperluan’ dan boleh mengundang bahaya.

“Saya tidak percaya seseorang perlu meletak jawatan hanya kerana masalah peribadi.

“Di mana-mana saja tempat bekerja di Australia, masalah peribadi sering menjadi penentu kerjaya, saya berpendapat kita bergerak ke arah satu keadaan yang amat menyedihkan,” kata Joyce.

Pada masa sama beliau turut menyangkal dakwaan menyewa sebuah pangsapuri secara percuma daripada seorang jutawan selepas rumah tangganya bermasalah.

Katanya, kediaman itu hanyalah sekadar bantuan yang dihulurkan oleh seorang rakan.

Skandal seks yang menjadi tajuk utama media tempatan itu mencetuskan perdebatan umum berhubung budaya di tempat kerja ketika gerakan #MeToo global berkempen menentang gangguan seksual. – AFP

Loading...

Previous
Next Post »
loading...