loading...

Rumah Mikro Kini Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Adakah anda pernah berfikir untuk tinggal di dalam rumah berkeluasan 32.5 meter persegi atau dalam perkataan lain digelar kehidupan komunal? Jika ya, maka anda patut melawat Medan Pasar, di sini untuk merasai pengalaman berada di dalam prototaip perumahan abad ke-21 ini.

Dua rumah mikro, yang saiznya sama dengan dua ruang parkir kereta dilengkapi dapur dan bilik air telah dibangunkan dan dipamerkan untuk orang ramai merasai pengalaman konsep kehidupan komunal.

Rumah mikro itu merupakan hasil ujikaji sosial Think City Sdn Bhd bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena dengan Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9), untuk melihat sama ada kehidupan komunal boleh dibangunkan dan sama ada rakyat Malaysia terbuka terhadap idea ini.

Pengurus program ini, Joanne Mun berkata kedua-dua rumah mikro itu, masing-masing berukuran 24.5 meter persegi dan 29.7 meter persegi dibuka kepada orang ramai pada Rabu dan dilawati lebih 1,000 pengunjung setakat ini

“Konsep reka bentuk setiap unit dibangunkan daripada cadangan reka bentuk yang dihantar. Sembilan pereka bentuk dan jurubina tempatan dengan portfolio pengalaman perumahan yang sama dijemput dan hanya enam terlibat.

“Dua reka bentuk yang digemari dipilih Panel Ulasan Reka Bentuk dan masa tiga minggu diambil untuk memasang rumah mikro ini, “ katanya kepada Bernama di Medan Pasar di sini.

Mun berkata sebagai sebahagian daripada cabaran, pereka bentuk dikehendaki tinggal di dalam unit rekaan masing-masing selama 24 jam bagi mereka menguji rekaan sendiri dan memahami lagi kaedah untuk menambah baik unit itu untuk prototaip masa hadapan.

Beliau berkata kehidupan komunal atau yang juga dikenali sebagai hidup secara berkongsi yang mana individu hidup bersama dan memilih untuk berkongsi ruang hidup, sumber, minat , impian dan hartanah.

Menurut kajian dasar Think City, terdapat 54,000 pekerja bertumpu di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur (213 ha) tetapi hanya 4,800 yang menetap di sana.

“Terdapat keperluan untuk pilihan kediaman yang lebih luas bagi menarik lebih ramai penduduk untuk menetap di bandar raya. Kaedah yang mungkin boleh dilaksanakan untuk mengatasi isu ini ialah menjadikan bangunan komersil lama sebagai kediaman sementara atau tetap dan memperkenalkan kehidupan komunal,” katanya.

Beliau berkata kehidupan komunal menawarkan keseimbangan ruang peribadi dan bersama yang direka bentuk khusus untuk masyarakat berinteraksi sementara rumah boleh direka bentuk supaya mesra alam.

WUF9 yang bermula sejak 7 Feb lepas berlangsung dengan 500 acara termasuk perhimpunan, perbincangan meja bulat peringkat tinggi, dialog dan sesi khas. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...