loading...

Polis Tumpas Kumpulan Amir Batu 16, Tahan 7 Suspek

TAIPING – Polis menumpaskan kumpulan samun Amir Batu 16 dengan penahanan tujuh suspek termasuk dua bekas anggota tentera di sekitar Kamunting dan Taiping pada 26 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata dengan penahanan kesemua anggota kumpulan itu, polis percaya telah menyelesaikan lapan kes jenayah melibatkan dua kes rompak, tiga kes curi motosikal dan dua kes khianat di kawasan Hotel Taiping, Batu Kurau dan Kamunting.

Katanya, kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 30 tahun termasuk ketua kumpulan berumur 27 tahun ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping yang melakukan serbuan antara 11 pagi hingga 4 pagi pada 26 Jan.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, lelaki yang merupakan orang kanan ketua kumpulan dikenali ‘Amir’ ditahan di sebuah restoran di Jalan Kamunting, Kamunting, sebelum menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah di Taman Mewah, Kamunting.

“Suspek pertama telah membawa polis ke sebuah bengkel kereta di kawasan Taman Saujana Jaya, Assam Kumbang dan menemukan sebuah kereta jenis Wira Aeroback berwarna hitam yang digunakan semasa melakukan rompakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohamad berkata polis berjaya menahan ketua kumpulan itu di kawasan pasar malam Taman Lela, Kamunting pada 8.30 malam dan hasil soal siasat polis berjaya menahan empat lagi anggota kumpulan itu.

Polis turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha Ego, sebilah pedang, dua telefon bimbit, sebuah topi keledar dan seketul bata simen daripada kumpulan berkenaan.

Beliau berkata hasil ujian urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Mohamad berkata kumpulan itu aktif sejak tahun lalu dengan melakukan kegiatan rompak dan curi motosikal selain terbabit dengan pengedaran dadah.

Sementara itu, Mohamad berkata polis menahan dua lelaki berumur 39 dan 58 tahun yang dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah dalam serbuan berasingan di Matang dan di Kampung Banggol, Changkat Jering di sini pada 31 Jan lalu dan Jumaat lepas.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 3.30 pagi, 31 Jan, polis menahan lelaki berumur 39 tahun dan merampas 36 gram dadah heroin dan 2.5 gram ganja di sebuah rumah di Kampung Banggol, Changkat Jering.

Mohamad berkata dalam serbuan kedua pada Jumaat lepas, polis menahan lelaki berumur 58 tahun di sebuah rumah di kawasan Sungai Mati, Matang pada 11.30 malam dan merampas ganja seberat 333 gram.

Siasatan mendapati suspek yang mempunyai empat cahaya mata terlibat mengedar dadah secara kecil-kecilan sejak 10 tahun lalu selain mempunyai rekod lampau jenayah dadah, katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...