Kredit foto: Instagram official_kamalemma
"Saya sudah tahu siapa Kamal yang sebenarnya dan hubungan kami putus."
Demikian kata aktres Emma Maembong mengakhiri teka-teki peminat tentang status terkini hubungannya dengan aktor Kamal Adli.
Malah dalam pengakuan eksklusif yang dilaporkan portal BH Online itu, Emma tidak menafikan dakwaan aktres Zahirah Macwilson menjadi penyebab pergolakan hubungannya dengan Kamal.
"Rasanya cukuplah sampai di sini. Saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini kerana tidak mahu disalah erti oleh mana-mana pihak. Malah, ada yang menganggap saya cemburu buta.
"Sebagai pelakon, semestinya saya memahami kerjaya sebagai anak seni. Bagi saya, 'chemistry' (keserasian) yang tercipta antara pelakon, habis sebaik saja kamera dipadamkan dan tidak harus berpanjangan hingga ke luar lokasi.
"Kalau betul kemesraan di tunjukkan atas urusan kerja, kenapa perlu sorok seperti menyembunyikan sesuatu? Saya tidak boleh bersama dengan orang yang menipu dan kemudian menuding jari supaya kesalahan diletak pada bahu orang lain," katanya.
Dalam masa yang sama, Emma atau nama penuhnya Fatimah Rohani Embong turut melahirkan rasa kecewa kerana kepercayaan yang diletakkan dalam perhubungan berusia tiga tahun itu dikhianati Kamal.
Tegas aktres berusia 25 tahun itu lagi, dia membuat keputusan tersebut selepas melihat bukti.
Lebih merumitkan keadaan apabila Kamal dan Zahirah menuding jari kepada pihak lain atas kesalahan yang mereka sendiri lakukan.
"Tiada sesiapa yang menjadi batu api dalam perkara ini. Semestinya teman rapat mahukan yang terbaik untuk saya dan tidak mahu melihat saya sering dikecewakan," ujarnya.
Malah Emma mendedahkan mereka bertiga telahpun duduk berbincang yang mana turut disertai teman lelaki Zahirah, aktor Zul Ariffin.
Emma menganggap isu itu akan menjadi lebih mudah sekiranya Kamal dan Zahirah mengakui kesilapan.
"Kami berempat (Emma, Kamal, Zahirah dan Zul Ariffin) duduk berbincang mengenai isu ini. Rasanya tidak perlu merumitkan keadaan dan lebih matang jika Kamal dan Zahirah mengakui kesilapan mereka," katanya lagi.