KUALA LUMPUR – Satu rundingan rasmi antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan penyelesaian kepada ketegangan diplomatik kedua-dua negara kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau berkata, rundingan itu sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membawa pulang sembilan kakitangan kedutaan Malaysia yang dihalang keluar oleh Pyongyang sejak 6 Mac lalu, lapor Utusan.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan tidak rasmi dengan kedutaan Korea Utara di Malaysia sebagai persediaan untuk rundingan rasmi tersebut.
“Kita telah bersedia. Kita juga telah mengumpul pelbagai maklumat yang diperlukan daripada polis, Kementerian Kesihatan dan sebagainya supaya kita faham apa yang boleh dibuat, tidak boleh dibuat dan perlu dibuat.
“Buat masa ini kita tidak menetapkan jangka waktu tertentu isu ini dapat diselesaikan. Bagaimanapun, kami yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Anifah meluangkan masa kira-kira satu jam berbincang dengan 11 ahli keluarga kedutaan Malaysia di Pyongyang yang dihalang keluar dari Korea Utara.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW