IPOH – Seramai 24 pelajar lagi disahkan dijangkiti Influeza A (H3) atau selesema bermusim di negeri ini dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah itu meningkat kepada 438 kes setakat jam 11.59 malam tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Beliau berkata, 23 pelajar yang dijangkiti semalam adalah dari Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) menjadikan jumlah keseluruhan pelajar sekolah berkenaan yang dijangkiti penyakit itu seramai 225 orang, lapor BH.
Katanya, satu lagi kes dilaporkan di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR) menjadikan jumlah pelajar dijangkiti di sekolah itu adalah seramai 115 orang.
“Tiga lagi sekolah dan kolej merekod bilangan sama seperti semalam dengan tiada pertambahan kes direkodkan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Jaya membabitkan tiga murid, Kolej Vokasional Slim River, 13 pelajar dan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Teluk Intan, 82 pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah yang baharu dijangkiti itu, empat pelajar SERATA dan seorang pelajar STAR diasingkan di bilik isolasi menjadikan jumlah pelajar yang diasingkan dalam bilik berkenaan di sekolah masing-masing seramai 304 orang.
Katanya, setakat ini, hanya tiga pelajar yang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh masih dirawat manakala selebihnya dibenarkan keluar semalam.
“Sehingga kini daripada sampel yang dihantar untuk ujian pengesahan, sebanyak empat sampel positif H3 manakala enam sampel positif Influenza B,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Hang Son menasihatkan orang ramai menutup hidung dan mulut bagi mengelakkan dijangkiti wabak itu serta mengelakkan diri daripada berada di tempat tumpuan ramai termasuk pusat beli-belah, sekolah dan tadika.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW