Walaupun Amerika Syarikat (AS) mengambil pendirian berkecuali ketika negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain mengundi bagi membantah tindakan Israel membina penempatan haram di Palestin, langkah itu dilihat sudah cukup untuk ‘menggoyahkan’ hubungan antara dua ‘sahabat karib’ itu yang terjalin sejak sekian lama.
Selaku sekutu paling rapat dengan rejim Yahudi itu, keputusan AS untuk tidak memihak kepada mereka pasti memberi tamparan hebat serta tekanan yang besar khususnya terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Walaupun menyedari Israel kecewa dengan tindakan tersebut, Setiausaha Negara AS, John Kerry tetap mempertahankan pendirian negaranya mengenai keputusan untuk berkecuali dalam undian berkenaan.
“Jika AS memilih untuk ‘menghalalkan’ penempatan haram Yahudi, kami bimbang Israel melihat tindakan itu sebagai lesen bagi meneruskan pembinaan rumah-rumah berkenaan sekali gus merencatkan rundingan damai dengan Palestin yang diusahakan selama ini.
“Resolusi ini bukan bertujuan meminggirkan Israel, sebaliknya kami menganggap polisi pembinaan penempatan itu menganggu rundingan damai,” katanya seperti yang dilaporkan The Guardian.
Kenyataan Kerry dibuat ketika bakal Presiden negara itu, Donald Trump berikrar untuk mengubah polisi pentadbiran Presiden, Barack Obama yang disifatkan sebagai tidak ‘mesra’ Israel.
Trump yang bakal mengambil alih White House berkuat kuasa 20 Januari ini dilihat menjadi satu-satunya ‘sandaran’ Israel ketika sebahagian besar negara Barat dilihat mula cenderung menyokong Palestin termasuk United Kingdom (UK) dan Rusia.
“Kita tidak boleh terus membiarkan Israel dihina dan tidak dihormati seperti ini. Israel pernah mempunyai rakan yang baik melainkan AS. Namun, kini tidak lagi. Bertabahlah Israel. Tarikh 20 Januari semakin hampir!” kata Trump dalam satu status Twitter miliknya.
Seorang wartawan, Stephen Collinson dalam satu artikel yang disiarkan oleh CNN mendakwa, keputusan undian resolusi PBB itu juga ‘mencerminkan’ pengakhiran karier Obama yang ‘kurang baik’ berbanding bekas-bekas Presiden AS sebelum ini.
Pada masa yang sama, Collinson turut membayangkan gandingan Trump dan Netanyahu selepas 20 Januari ini akan ‘ditentang’ oleh negara-negara lain termasuk sekutu kuat mereka seperti Eropah.
Ini kali pertama dalam tempoh tujuh tahun PBB meluluskan satu resolusi berkaitan Israel-Palestin dan dipercayai yang pertama membabitkan penempatan Israel sejak Resolusi 465 pada 1980.
Ketika ini, ramai pemerhati pastinya mahu melihat sejauh mana pelaksanaan resolusi itu serta masa depan hubungan Israel dan AS di bawah pentadbiran Trump.
Sejauh mana Israel akan terus ‘bergantung’ kepada AS ketika ‘rakan-rakan lain’ mula menjauhkan diri daripada mereka dan mampukah Trump meyakinkan dunia ketika satu demi satu pihak mula membuka mata terhadap kekejaman rejim Zionis?-Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW