PASIR MAS – Meskipun terpaksa berendam kaki di dalam air banjir, bagi peniaga di Rantau Panjang, ia adalah satu keseronokan dan pengalaman yang bermakna setiap tahun.
Bagi seorang peniaga burger wanita, Nurul Shuhada Che Ghani, 32, banjir bukanlah alasan untuk tidak berniaga malah ia perlu dimanfaatkan oleh peniaga kecil lain kerana ketika banjir, bandar itu akan dipenuhi pengunjung.
“Bagi saya, banjir di bandar ini sudah seperti acara tahunan kerana orang ramai akan datang membawa ahli keluarga masing-masing untuk bermain air banjir.
“Selepas mereka mengharungi air banjir, pengunjung sudah pasti akan merasa lapar dan mahu makanan ringan untuk mengisi perut pada waktu itu.
“Jadi untuk tidak melepaskan peluang dan rezeki, saya rela untuk berendam kaki dalam air banjir untuk menyediakan makanan seperti burger, sosej dan minuman kepada pengunjung,” katanya.
Nurul berkata biasanya pekan Rantau Panjang akan dipenuhi air selama tiga hari bergantung kepada cuaca dan jika keadaannya baik pekan itu akan kembali seperti biasa.
“Pada hari biasa sukar untuk dapat hasil jualan berikutan kedai makan dapat beroperasi seperti biasa tetapi ketika banjir, peniaga seperti saya menjadi keutamaan pengunjung.
“Biasanya saya boleh mendapat RM1,500 untuk jualan burger dalam masa tiga hari,” katanya.-BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW