SYDNEY – Australia, hari ini menolak dakwaan ia cuba ‘merekrut’ anggota tentera terbaik Indonesia ketika ia berusaha memulihkan hubungan dengan Jakarta selepas hubungan ketenteraan digantung.
Kedua-dua negara jiran itu, semalam mendedahkan kerjasama tentera dihentikan bulan lalu selepas bahan pengajaran yang disifatkan menghina Jakarta ditemui di pangkalan tentera Australia.
Kerjasama itu termasuk latihan bersama dan pendidikan dan program pertukaran digantung selepas pegawai Indonesia yang melakukan lawatan ke pangkalan menyuarakan kebimbangan mengenai bahan itu.
Pihak berkuasa tidak menyebabkan punca kemarahan tetapi Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) berkata ia berkaitan dengan poster Papua Barat, wilayah di timur Indonesia yang menyaksikan pemberontakan berlaku selama beberapa dekad.
ABC juga menyiarkan rakaman ketua tentera Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo memberikan syarahan pada November, menyuarakan kebimbangan Canberra cuba merekrut anggota tentera yang dihantar berlatih di negara itu.
“Setiap kali ada program latihan seperti baru-baru ini, lima atau 10 pelatih terbaik akan dihantar ke Australia. Ia berlaku sebelum saya menjadi ketua jadi saya biarkan sahaja.
“Sebaik saya menjadi ketua komander angkatan tentera, ia tidak berlaku lagi. Mereka akan direkrut sepenuhnya. Memang pasti mereka akan direkrut,” katanya dalam kenyataan yang diterjemahkan, menurut ABC.
Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne, menafikan Canberra menyasarkan tentera Indonesia sebagai ejen. “Tidak, ia bukan seperti itu dan ia sesuatu yang kita tidak akan benarkan dalam kursus,” katanya.
Payne menambah, siasatan mengenai bahan pengajaran yang mencetuskan perbalahan hampir siap dan Canberra memandang serius perkara itu.
“Kami bekerja rapat dengan rakan sejawatan dalam pasukan tentera kedua-dua negara dan pada peringkat politik untuk membetulkan sebarang masalah, menangani sebarang kebimbangan dan menyambung hubungan ini secepat mungkin,” katanya.
Akhbar Kompas melaporkan, perbalahan tercetus selepas tenaga pengajar unit khas yang melakukan lawatan terjumpa bahan pengajaran yang disifatkan tidak menghormati pasukan tentera negaranya, selain bahan yang difikirkan menghina Pancasila. – AFP/BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW