KUALA LUMPUR – Gelaran ‘Tun’ yang biasanya diberikan kepada bekas pemimpin negara tidak membawa sebarang kekebalan atau imuniti undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah sekiranya prima facie atau bukti sesuatu kesalahan jenayah.
Pengamal undang-undang Datuk Ahmad Zaharil Muhayar dari tetuan A.M Zaharil & Co berkata, semua rakyat Malaysia tidak kira yang mempunyai pangkat gelaran, kerabat diraja atau rakyat biasa tertakluk dibawah undang-undang negara dan boleh dibicarakan di mahkamah.
“Sedangkan Duli Yang di-Pertuan Agong juga boleh didakwa di mahkamah. Mengikut peruntukan, gelaran Tun ini biasanya adalah gelaran kehormat kepada bekas pemimpin negara.
“Selalunya orang yang ada gelaran Tun ini, kita segan dengan dia sebab hormat akan jasa mereka. Tetapi ia tidak memberi imuniti. Boleh didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.
Contoh individu bergelar Tun yang pernah didakwa di mahkamah adalah bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik yang terlibat dengan skandal pembangunan Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ujar Ahmad Zaharil, Tun merupakan gelaran kedua tertinggi di Malaysia selepas Panglima Gagah Berani (PGB).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendedahan dokumen badan penyiasat antarabangsa, Agensi Penyelidikan Pusat (CIA) mengatakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dengan skandal Bumiputra Malaysia Finance Ltd (BMF), anak syarikat Bank Bumiputra.
Walaubagaimanapun kata Ahmad Zaharil, dokumen yang didedahkan oleh CIA itu tidak boleh digunakan sebagai bukti untuk mendakwa Dr Mahathir di mahkamah Malaysia.
“Peguam Negara boleh menghantar wakilnya untuk berjumpa dengan CIA bagi menyiasat lanjut perkara ini. Mereka boleh memanggil individu yang menyediakan laporan berkenaan untuk hadir ke mahkamah bagi menerangkan penglibatan Dr Mahathir dalam isu ini.
“Jika AG menyediakan semua ini, tak ada masalah untuk dakwa Dr Mahathir di mahkamah,” ujarnya.
Dr Mahathir dilaporkan terlibat dengan skandal Bank Bumiputra atau Skandal BMF yang menggelapkan berbilion dana Bank Bumiputra kepada Carrian Investment Limited (Carrian Group) melalui anak syarikatnya BMF.
Spekulasi Carrian Group gagal dan menyebabkan kadar keberhutangan Bank Bumiputra melambung tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carrian Group, George Tan kemudiannya diisytifarkan muflis sementara hutang yang ditanggung Bank Bumiputra bernilai USD 1 bilion ringgit.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW