KUALA LUMPUR – Pertama kali dalam sejarah UMNO, Wanita mendapat pengiktirafan tertinggi apabila diberi tepuk sanjungan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 atas khidmat dan taat setia mereka kepada parti.
Pengiktirafan itu mengundang perasaan terharu ahli Wanita terutama Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kerana berasa amat dihargai oleh parti.
“Wanita rasa amat terharu kerana diberi tepuk sanjungan oleh Presiden dan semua yang hadir. Peristiwa ini amat bersejarah untuk Wanita kerana pertama kali berlaku.
“Sekian lama Wanita berkhidmat dengan taat setia dan berdisiplin, memberi kestabilan kepada parti terutama di kala menghadapi dugaan, saya rasa ini adalah kejayaan usaha kami mengarusperdanakan Wanita dalam bidang politik selain pengiktirafan sebagai tulang belakang UMNO,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Lebih mengharukan, katanya, Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan kisah Ketua Wanita UMNO Cawangan Bandar Baru Selayang, Saridah Ibrahim yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu pulang daripada berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, sebagai teladan untuk ahli parti.
“Tepukan gemuruh sambil berdiri yang diberikan oleh Presiden terhadap sumbangan Wanita amat bermakna dan bersejarah. Ini adalah untuk jentera Wanita yang sekian lama bertugas dan berkorban jiwa dan raga demi parti,” katanya.
Menurut Shahrizat, Wanita bertekad akan memastikan ahli-ahli terus setia kepada parti dalam menghadapi apa jua cabaran dan tidak sesekali membiarkan kelangsungan perjuangan parti terhakis daripada orang Melayu.
Katanya, ahli-ahli UMNO seharusnya memberi tumpuan kepada nilai kesetiaan seperti yang dimahukan Najib kerana itu yang akan memastikan parti terus kukuh menjadi tunggak kepada kerajaan hari ini.
“Saya berharap UMNO hari ini dan ahli-ahli yang akan datang terutama generasi muda berpegang teguh kepada nilai kesetiaan. Sahutlah harapan Presiden, inilah pengisian yang harus diterapkan oleh semua ahli parti. Wanita akan terus berada di sisi beliau,” katanya.-Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW