KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpihak kepada pembangkang dalam banyak hal, begitu dikesali.
Perwakilan Kedah, Datuk Wira Othman Abdul berkata, perbuatan itu sungguh mengecewakan, kerana ianya bercanggah dengan apa yang diperjuangkan tokoh pemimpin itu ketika bergelar presiden parti suatu ketika dahulu.
“Dahulu Tun kata kita lawan Kit Siang, kerana dia rasis, jangan sertai Bersih kerana perhimpunan jalanan merosakkan negara, buang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dia kotor orangnya.
“Tapi sungguh kami kesal, DAP belum berubah, Kuning juga tak berubah, hanya Tun M sahaja yang berubah tak sayang kita lagi,” katanya pada sesi perbahasan usul ucapan Dasar presiden, pada Perhimpunan Agung Umno 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau berkata, semua ahli perlu taat kepada presiden parti selagi pemimpin itu tidak menyuruh perkara maksiat.
“Lagipun apa salahnya setia pada Najib, sedangkan beliau juga pernah menabur bakti dengan tidak berbelah bahagi sewaktu tahun 1987, ketika Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Mahathir untuk jawatan presiden suatu ketika dahulu,” katanya.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW